Jika ibu bapa ingin melindungi anak-anak mereka dari bahaya fitnah dan dosa di zaman kini, contohi kaedah didikan Nabi Ibrahim a.s. Zaman baginda juga penuh dengan cabaran dan ujian, namun baginda berjaya membimbing Nabi Ismail a.s. dengan cara yang penuh hikmah. Berikut adalah tiga prinsip utama yang diterapkan oleh Nabi Ibrahim dalam mendidik anaknya:
1. Menjauhkan diri dan anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan akidah
Nabi Ibrahim sangat menjaga agar dirinya dan anak-anaknya tidak terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan keimanan. Baginda berdoa:
“Dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala”
(Surah Ibrahim: 35)
Pada zaman baginda, berhala adalah ancaman utama kepada akidah. Zaman kita pula, ‘berhala’ yang sering merosakkan iman adalah cinta kepada wang dan hiburan sosial media yang berlebihan. Ia menjadi punca utama anak-anak terpesong dari nilai-nilai agama. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa mendidik anak-anak untuk tidak menjadikan duniawi sebagai matlamat utama hidup mereka.
2. Mengutamakan solat dan kualitinya dalam kehidupan anak-anak
Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim berdoa untuk dirinya dan zuriatnya:
“Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat, dan begitu juga anak cucuku. Wahai Tuhanku, perkenankanlah doaku”
(Surah Ibrahim: 40)
Doa ini menunjukkan betapa pentingnya peranan solat dalam kehidupan. Nabi Ibrahim bukan sahaja memastikan dirinya menjaga solat, malah turut berdoa agar anak-anaknya juga mendirikan solat dengan sempurna. Solat bukan sekadar ibadah, tetapi juga tiang agama yang memupuk disiplin, kesabaran, dan tawakal dalam diri seseorang.
3. Menanam tawakal yang mendalam dalam hati anak-anak
Nabi Ibrahim mendidik Nabi Ismail dengan keimanan yang mendalam sehingga anaknya memiliki keyakinan penuh kepada Allah. Ketika Nabi Ibrahim menyampaikan bahawa baginda diperintahkan untuk menyembelih Nabi Ismail, 'respons' anaknya sangat luar biasa:
“Wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah, ayah akan mendapati aku termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar”
(Surah As-Saffat: 102)
Keyakinan yang agung ini tidak akan wujud tanpa didikan ibu bapa yang mengajarkan bahawa ALLAH adalah pelindung dan pemberi rezeki utama. Ibu bapa perlu memperkenalkan anak-anak kepada kisah-kisah para Nabi & Rasul juga para sahabat tentang keimanan dan mendidik mereka agar berserah sepenuhnya kepada ALLAH dalam setiap urusan.
Sebagai ibu bapa, kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail adalah inspirasi besar. Dedahkan anak-anak kepada nilai-nilai murni, kisah teladan para nabi, dan keutamaan tawakal kepada ALLAH. Inilah cara terbaik untuk memastikan anak-anak kita membesar dengan akhlak dan iman yang kukuh, meskipun hidup dalam dunia yang penuh cabaran ini.
0 Comments