CUKUR JAMBUL ATAU CUKUR RAMBUT?

Assalammualaikum wbt.
Salam 14 Ramadhan 1439h

Kesinambungan daripada entri > SEBELUM INI <


Dalam Islam, mencukur rambut bayi ini afdal dilakukan pada hari ke-7 selepas bayi dilahirkan dan biasanya disertakan dengan kenduri aqiqah. Hukum mencukur rambut hingga botak ini adalah sunat. Rambut yang dicukur tadi akan ditimbang dengan emas atau perak untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

Ini selari dengan sebuah hadis di mana Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih 
untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” 
(Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Tirmidzi)

Sungguhpun begitu, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz menyifatkan bahawa amalan cukur jambul tidak dikira sunnah jika rambut bayi itu hanya digunting sedikit dan tidak dicukur sepenuhnya selepas majlis itu. Menyokong kenyataan itu, Ustaz Azhar Idrus juga menekankan bahawa tiada pahala diperoleh daripada hanya menggunting sedikit rambut bayi yang baru lahir.

5 KELEBIHAN MENCUKUR RAMBUT BAYI DARI SEGI KESIHATAN

Berikut adalah 5 kelebihan mencukur rambut bayi dari sudut kesihatan yang mungkin anda belum tahu.

1. MEMBERSIHKAN KULIT KEPALA BAYI

Sewaktu bayi dilahirkan, bayi melalui jalan lahir / rahim yang turut membawa kotoran dan lemak ibu. Secara tidak langsung, sisa ini tertempel pada kulit kepala bayi.

Dari pandangan kasar, mungkin kita tidak dapat melihat dengan teliti apa yang terlekat pada kulit kepala bayi. Maka, sisa ini dapat dibersihkan secara lebih menyeluruh apabila rambutnya dicukur hingga botak.

2. MUDAH MENGESAN MASALAH KULIT KEPALA

Selain itu, kulit bayi yang sensitif juga mungkin menyebabkan bayi berpeluh, menggaru, dan seterusnya menimbulkan iritasi, luka, bisul dan sebagainya.

Jika ia tertutup di bawah rambut bayi yang tebal, barangkali ianya sudah menjadi lebih teruk apabila kita mengesannya.

3. MENJADIKAN BAYI LEBIH SELESA

Satu lagi kelebihan mencukur rambut bayi adalah supaya mereka berasa lebih selesa. Memandangkan cuaca panas dan lembap di negara ini, kebanyakan bayi memang cenderung untuk berpeluh dengan banyak.

Bayi yang masih kecil dan belum pandai meniarap akan selalu berbaring dan tidur, lalu menyebabkan mereka berpeluh terutamanya pada bahagian kepala.

Mereka juga tidak terganggu visualnya dengan rambut yang panjang hingga memasuki mata.

4. MENGELAKKAN ‘CRADLE CAP’

Sesetengah bayi mengalami masalah kerak kepala (cradle cap) yang ditandai dengan kerak kepala berwarna kekuningan dan agak berminyak.

Apabila rambut dicukur, lebih mudah ibu bapa memantau keadaan kesihatan pada kepala anak. Walaubagaimanapun, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sekiranya kulit anak bersifat terlalu sensitif dan dikhuatiri menyebabkan luka kepala apabila dicukur.

5. MUDAH DIURUS

Walaupun tidak semua kajian menunjukkan rambut bayi yang tumbuh selepas dicukur adalah lebih lebat, tetapi ramai berpendapat mereka lebih mudah untuk mengurusnya.

Anda juga boleh memberi urutan lembut pada kepala bayi bagi meningkatkan aliran darah ke kepala. Menurut laman web kesihatan LiveStrong, tindakan ini mampu menggalakkan pertumbuhan rambut bayi dengan lebih cepat.

Seperkara lagi, untuk memastikan rambut bayi tumbuh sekata selepas dicukur, galakkan proses meniarap atau ‘tummy time’ setiap hari.

JALANKAN DENGAN BERHATI-HATI

Jika anda berhasrat untuk mencukur rambut bayi, pastikan anda menitik beratkan faktor keselamatan dan kebersihan. Ini kerana, ubun-ubun kepala bayi masih lembut dan kulit mereka juga sangat sensitif.

Maka, dapatkan seseorang yang berpengalaman untuk melakukannya dengan betul. Kalau bayi mengalami masalah kulit yang tertentu, dapatkan nasihat doktor sebelum melakukannya.


Wallahua'lam.

Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..=)

Post a Comment

1 Comments