PRODUK RAMADHAN

Assalamualaikum wbt

"Saya tak setuju dengan pendapat ustaz tadi yang menyarankan supaya kita buat terawih 20 rakaat dan tidak perlu tazkirah Ramadhan" kata sahabat kepada saya seusai kuliah zohor tempoh hari.

-Gambar sekadar hiasan-

Saya senyuman lalu membalas, "tula haji, saya pun sebenarnya tak sependapat dengan ustaz tadi. Tetapi itulah, dia hanya menyuarakan pendapat dia sahaja. Lagipun tak salah pun saranan dia tu dan kita pun tak ada masalah jika tak sependapat dengannya."

"Sepatutnya time terawih inilah kita buat tazkirah Ramadhan sebab jemaah ramai. Hari hari biasa mana ada jemaah ramai macam bulan Ramadhan. Bagi saya, orang macam ustaz tu sesuai la jika dia memilih 20 rakaat kerana dia seorang yang telah banyak ilmu." Tambah sahabat saya lagi.

"Betul haji. Selalunya berapa kerat sangatlah yang datang dengar kuliah kuliah kat surau atau masjid. Saya memang seorang yang memperjuangkan solat terawih 8 rakaat diselangi tazkirah haji!" ujar saya sambil tersengih kepada sahabat saya itu.

"Enta 'Produk Ramadhan' kan dif?" Soal sahabat kepada saya tiba tiba. Barangkali dia masih ingat lagi saya pernah mengatakan kepadanya saya adalah 'Produk Ramadhan' beberapa tahun dahulu.


"Hihi. Betul haji. Syukur sangat Allah pertemukan saya dengan masjid dan majlis ilmu pada bulan Ramadhan. Haji doakanlah saya Allah berikan kekuatan untuk terus istiqomah dalam kerja kerja agama ini". Balas saya mengharapkan doanya.

Sebenarnya saya yang menggelar diri sendiri 'Produk Ramadhan' disebabkan saya memulakan langkah hadir ke masjid dan majlis ilmu adalah di bulan Ramadhan. Masih segar lagi di dalam ingatan ini tazkirah pertama yang pernah saya hadiri di Masjid Kota Damansara pada tahun 2013 dahulu. Disitulah bermulanya cinta terhadap masjid dan majlis ilmu di dalam diri ini.

Tulisan ini sebenarnya ingin menyatakan bahawa tazkirah Ramadhan adalah amat penting sekali kerana ia memberi impak yang sangat besar dan berkesan kepada ahli masyarakat.

Tidak kisahlah tazkirah Ramadhan dilakukan ketika solat terawih 20 atau 8 rakaat, tetapi yang pastinya ketika bulan Ramadhan inilah merupakan 'prime time' untuk mendidik dan mengajak masyarakat kepada kesedaran agama.

Pasti ramai yang akan mendapat manfaat daripada ilmu yang disampaikan oleh pentazkirah kerana yang hadir ke masjid di bulan Ramadhan bukanlah dari kalangan 'kaki masjid' sahaja tetapi mereka yang mula berjinak jinak dengan masjid juga hadir mengimarahkan rumah Allah itu.

Moga moga tazkirah yang telah disampaikan memberi kesan kepada hati hati mereka yang hadir sepertimana ia telah membekas di dalam hati saya ini sejak pertama kali saya hadir ke majlis ilmu di bulan Ramadhan dahulu.

Saya menulis kisah ini bukanlah kerana ingin membangga diri, moga Allah jaga hati saya, tetapi adalah untuk membantu sekiranya diperlukan bagi mereka mereka yang sedang mencari cari jalan lurus menuju Tuhannya. 

Bagi saya, inilah masanya! Inilah bulannya! Untuk memulakan kerja kerja memperbaiki agama dalam diri kita. Jangan sekali kali dilepaskan peluang yang datang sekali setahun ini. Boleh jadi inilah Ramadhan terakhir bagi kita. Ambil dan manfaatkan bulan Ramadhan ini sebaik baiknya. 

Pilihlah bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai titik permulaan mencari kasih sayang Allah dengan memperbanyak dan memperbaiki ibadah yang kita lakukan.

Tinggalkanlah sebentar dunia kita ini dan mulakan langkah menuju mengimarahkan masjid masjid atau surau surau. Moga moga Allah kurniakan kasih sayangNya kepada kita dan kita menjadi 'Produk Ramadhan' yang berkualiti. Insyaallah.


Alhamdulillah, hari ini bukan setakat Allah izinkan saya menuntut ilmu di masjid atau surau sahaja, malahan diberi amanah pula untuk menguruskan kuliah kuliah di surau pejabat dan kompleks tahfiz. Dan bagi saya lagi, inilah peluang saya untuk berbakti kepada agama.

Mengakhiri bicara ringkas ini, moga moga kita semua Allah SWT akan kurniakan Mahkota Muttaqqin di penghujung Ramadhan nanti dan sekali gus kita boleh menjadi 'Produk Ramadhan' yang berkualiti. 

Wallahu'alam.

Cerita diatas adalah sekadar perkongsian buat kita semua. Moga ada kebaikan dan pengajaran yang dapat diambil. Sekian, Wassalam =)

Post a Comment

2 Comments

  1. baik 8 atau 20 sama2 ada pahala. yang penting kita diri sendiri ni pulun kaw2 kutip pahala.. salam ramadhan Yaya ^^

    ReplyDelete