Friday, 27 April 2018

NILAI SEPULUH RINGGIT

Assalammualaikum w.b.t.
Salam Jumaat, 11 Syaaban 1439h


Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut oleh anak lelakinya yang berusia tujuh tahun di muka pintu.

Amin : “Ayah, boleh tak Amin tanya satu soalan?”

Ayah : “Ya, nak tanya apa?”

Amin : “Berapa pendapatan ayah sejam?”

Ayah : “Itu bukan urusan kamu. Buat apa nak sibuk tanya?”

Amin : “Amin saja nak tahu ayah. Tolonglah bagi tahu berapa ayah dapat sejam bekerja di pejabat?”

Ayah : “20 ringgit sejam.”

Amin : “Oh…” kata si anak sambil tunduk menekur lantai. Kemudian memandang wajah ayahnya semula sambil bertanya.

Amin : “Ayah….boleh tak Amin pinjam sepuluh ringgit daripada ayah?”

Si ayah menjadi berang dan berkata, “Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa sampai mintak sepuluh ringgit? Nak beli barang mainan lagi? Jangan nak membazir. Ayah kerja penat-penat bukan untuk buang duit sebarangan. Sekarang pergi balik ke bilik dan tidur, dah lewat dah ni...”

Kanak-kanak tujuh tahun itu terdiam dan perlahan-lahan melangkah kembali ke biliknya. Si ayah duduk di atas sofa dan mula memikirkan mengapa anaknya yang kecil itu memerlukan duit sebanyak itu. Kira-kira dua jam kemudian si ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolahnya kerana anaknya tidak pernah meminta wang sebanyak itu sebelum ini. Dengan perasaan bersalah si ayah melangkah menuju bilik anaknya dan membuka pintu.

Didapati anaknya masih belum tidur.

Ayah : “Kalau kamu betul-betul perlu duit, nah ambillah sepuluh ringgit ini,”
kata si ayah.

Kanak-kanak itu segera bangun dan tersenyum girang.

Amin : “Terima kasih banyak ayah,”
katanya begitu gembira.

Kemudian dia tercari-cari sesuatu di bawah bantalnya dan mengeluarkan sekeping not sepuluh ringgit yang sudah renyuk.

Bila ternampak duit itu si ayah kembali berang.

Ayah : “Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu? Dari mana kamu dapat duit di bawah bantal tu?”
Jerkah si ayah.

Si anak tunduk tidak berani merenung wajah ayahnya.

Amin : “Duit ini Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah beri setiap hari. Amin minta lagi 10 ringgit sebab duit yang Amin ada sekarang tak cukup,”
jawab si anak perlahan.

Ayah : “Tak cukup untuk beli apa?”
soal balik si ayah.

Amin : “Ayah, sekarang Amin sudah ada 20 ringgit. Ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah. Amin nak makan malam bersama ayah,”
jawab si anak tanpa berani memandang wajah ayahnya.

Baru si ayah benar-benar faham maksud anaknya itu…

Moral :
Kadangkala kita terlampau sibuk sehingga mengabaikan insan tersayang yang dahagakan kasih sayang dan perhatian kita. Oleh itu, luangkan sedikit waktu untuk bersama mereka…

Sekian, Wassalam 

Thursday, 26 April 2018

HIDUP SIHAT TANPA MAKSIAT

Assalammualaikum wbt.

Mengapa orang yang meninggalkan maksiat akan hidup lebih sihat? Salah satu sebab utamanya ialah jin dan syaitan akan "lari" menjauhi mereka.

Syaitan dan jin yang jahat akan akrab dengan pelaku maksiat dan itulah yang menjadi salah satu sebab mereka ditimpa pelbagai penyakit. Gangguan musuh Allah ini terhadapa manusia adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan.

8 TIP SIHAT HIDUP TANPA MAKSIAT


IKHLAS BERTAUBAT
Keikhlasan dalam melakukan taubat akan menghasilkan diterimanya taubat tersebut oleh Allah. Maka bersihlah diri orang yang bertaubat itu daripada dosa dan hilanglah rasa cintanya terhadap maksiat.

MENJAGA SOLAT
Allah SWT berfirman yang bermaksud : 

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar"
(Surah al-Ankabut 45)
BERPUASA
Berpuasa mampu merehatkan sistem penghadaman dalam badan kita. Kerana itu, tempoh rehat ketika kita melakukan ibadah puasa boleh menghindarkan kita daripada penyakit. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 

"berpuasalah, nescaya kamu sihat" 
(HR al-thabarani)

SIBUK DENGAN PERKARA BERMANFAAT
Waktu yang Allah berikan kepada kita apabila diisi dengan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat, maka tiadalah ruang bagi aktiviti untuk bermaksiat.

MENJAUHI PUNCA PUNCA MELAKUKAN MAKSIAT
Sekat segala punca kearah maksiat. Tahan diri dan mohonlah pertolongan Allah agar diberikan kekuatan untuk melawan godaan hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak kearah maksiat.

MENUNDUKKAN PANDANGAN
Menundukkan pandangan mata daripada memandang yang haram sangat dituntut di dalam islam. Ia adalah faktor penting dalam meraih ketenangan jiwa dan ia juga mampu untuk menundukkan syahwat. 


BERGAUL DENGAN ORANG BAIK
Pergaulan dengan orang yang baik dan soleh akan sentiasa mengingatkan kita kepada Allah. Disibukkan dengan majlis majlis ilmu dan perbincangan perihal agama adalah kebiasaan bagi orang baik dan soleh. Maka ini akan membantu menutupi ruang ruang kemaksiatan yang boleh berlaku.

BANYAK BERDOA
Selalulah berdoa kepada Allah SWT agar diajauhkan daripada maksiat. Manusia tidak akan mampu untuk mengawal dirinya sendiri ketika melawan godaan hawa nafsu dan syaitan. Kerana itulah pentingnya berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Sumber asal : Bicara Iman Untuk Tenang - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.

Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..

Wednesday, 25 April 2018

TAZKIRAH YANG TERINDAH

Assalammualaikum wbt.


Jangan melihat seseorang dari masa lalunya. Berilah kesempatan seseorang untuk berubah. Kerana seseorang yang hampir membunuh Rasul pun kini terbaring disebelah makam iaitu Saidina Umar Al Khattab.

Jangan melihat seseorang dari masa lalunya. Seseorang yang pernah berperang melawan agama Allah pun akhirnya menjadi pedang Allah (saifullah) iaitu Saidina Khalid Ibnu Walid.

Jangan menilai orang dari rupanya. Kerana Rasulullah saw melihat si pendek tak menawan iaitu sahabat beliau Saidina Julaybib r.a dikejar-kejar oleh para bidadari Syurga.

Jangan memandang orang dari status dan hartanya. Kerana kasut emas fir'aun pun berada di neraka, sedangkan selipar lusuh Saidina Bilal bin Rabah kedengaran langkahnya di Syurga.

MASYA-ALLAH

Siapalah kita manusia biasa yang serba dosa ni nak menghukum seseorang. Kita takkan pernah dapat tahu isi hati dan kebenaran yang sebenar bila melihat sahaja luaran seseorang itu. Jika terlihat keburukan seseorang, jangan cepat menilai. Segera doakan yang terbaik buat mereka, agar diberi hidayah, petunjuk dari Allah ke arah jalan yang lebih baik. Tiada siapa tahu apa akan jadi di masa hadapan, mungkin orang yang kita lihat buruknya dia pada hari ini akan jadi lebih baik di masa hadapan malah lebih baik dari diri kita yang sudah merasa baik ini. 

Allahuakbar..

Semoga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayahNya, agar di setiap ilmu yang kita miliki, dapat menggerakkan kita untuk lebih dekat lagi dengan rahmat Allah. (Aamiin)

MARI KITA RENUNG RENUNGKAN
------------------------------------------------------
Apakah Kepunyaan Kita Wahai Saudaraku..?

Lahirmu : Dilahirkan oleh orang lain
Namamu : Dinamakan oleh orang lain
Pelajaranmu : Diajar oleh orang lain
Pendapatanmu : Diberikan oleh orang lain
Hormat : Diberi oleh orang lain
Mandian pertama dan terakhir : Dimandikan oleh orang lain
Selepas mati : Segala harta dan hakmu diambil oleh orang lain
Pengkebumianmu : Dibuat oleh orang lain

Terasa amat hairan kerana masih ada ego dan keras di hati kita kerana kita sebenarnya tidak punya apa-apa dan juga tiada daya tanpa izin-Nya.

Begitulah Kita Semua ..

(Dipetik daripada facebook Bahagian Dakwah, Jakim)

Wallahualam.


Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..

Tuesday, 24 April 2018

PENGGANTI SUAMI

Assalammualaikum wbt.
Salam 8 Syaaban 1439h


Di tanah perkuburan, seorang ustaz yang alim lagi warak mendekati wanita jelita yang baru kehilangan suaminya…

Ustaz: (Berbisik) "Saya turut berdukacita atas pemergian suami kamu. Semoga suami kamu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.."

Wanita: "Mudah-mudahan. Terima kasih ustaz" (Sambil teresak menangis)

Ustaz: "Kamu tak boleh lama² hidup dalam kesedihan. Bolehkah saya menggantikan tempat suami kamu...???"

Wanita: "Ustaz serius..??!!!"

Ustaz: "Ya betul, saya serius ingin menggantikan tempat suami kamu...!!"

Tiba-tiba wanita itu berkata kepada si penggali kubur…

Wanita : "Pak cik..!! Tolong korek semula kubur suami saya kerana ustaz ini ingin menggantikan suami saya....!!!

Ustaz: "ALLAH..."

(Sekadar hiburan dipetang hari.. ^o^)

Sekian, Wassalam.. =)

Monday, 23 April 2018

FASBIR SABRAN JAMILA

Assalammualaikum wb.t.

“Fasbir Sabran Jamila”
(Maka Bersabarlah Dengan Sabar Yang Baik)

 فَاصْبِرْ صَبْرًا جَمِيلًا  إِنَّهُمْ يَرَوْنَهُ بَعِيدًا  وَنَرَاهُ قَرِيبًا

Ertinya:
“Maka Bersabarlah Dengan Sabar Yang Baik, sesungguhnya mereka memandang siksaan itu mustahil. Sedangkan Kami memandangnya mungkin terjadi.
(Al-Ma’arij : 5-7)”

Kredit : anisalleh.art

Semakin kita nak berubah. Semakin hebat ujian ALLAH beri. Bukan sebab ALLAH tak sayangkan kita. Tapi ALLAH nak proses kita jadi lebih hebat. Lepas kita dah berubah nanti. Jadi, bila ditimpa ujian, mintalah pertolongan. Dari ALLAH dengan solat dan sabar!

^_^

KENALI 5 TANDA KETUMBUHAN OTAK YANG PALING KERAP BERLAKU : BENIGN MENINGIOMA

Assalammualaikum w.b.t.
Salam 7 Syaaban 1439h

Bagi yang banyak menonton siri episode TV berkenaan perubatan seperti Greys Anatomy, ER atau House pasti pernah melihat adegan di mana pesakit mengalami ketumbuhan pada otak. Ia biasanya berbahaya dan membawa maut, tapi tak semua, mungkin hanya dalam TV.

Menurut Little Things, realitinya, jenis ketumbuhan otak yang paling kerap berlaku dikenali sebagai meningioma dan ia biasanya tidak membahayakan (benign).

Meningioma adalah ketumbuhan otak utama dan mencakupi 30% daripada semua ketumbuhan otak, menurut Hospital Johns Hopkins.

Kira-kira 85% daripada ketumbuhan ini adalah jinak, dan tumbuh secara perlahan-lahan. Ia mengambil masa bertahun-tahun dan tidak disedari kerana tidak menunjukkan sebarang tanda, sehingga menjadi besar.

Meningiomas yang tidak menunjukkan tanda-tanda tak perlukan rawatan segera dan jika perlukan rawatan, ia biasanya dikeluarkan melalui pembedahan.

Apa itu Benign Meningioma?
Sumber : google

Ia adalah sejenis ketumbuhan yang tumbuh dari lapisan tisu yang menutupi tulang belakang dan otak dikenali sebagai meninges. Ia tumbuh pada permukaan otak dan mungkin menekan-nekan saraf dan saluran pada otak.

Ia digelar sebagai tidak berbahaya kerana tumbuh dengan perlahan dan tidak berpotensi untuk merebak.

Penyebab?

Sehingga kini penyebab kepada ketumbuhan ini masih tidak jelas. Apa yang diketahui adalah terdapat sesuatu yang mengubah sel-sel dalam meninges membuatkannya sel-sel ini menjadi berlipat kali ganda tak terkawal.

Satu-satunya penyebab yang diketahui adalah sindrom genetik yang diwarisi.

Faktor-faktor risiko?

Ketumbuhan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, namun biasanya berlaku pada orang dewasa berusia 40 hingga 60 tahun.

Walaupun ia berlaku kepada lelaki dan wanita, namun wanita berisiko 3 kali ganda lebih daripada lelaki.

Petanda?
Biasanya ia tidak menunjukkan tanda-tanda pada peringkat awal. Dalam beberapa kes, kesannya terhadap tisu, saraf atau saluran otak yang bersebelahan mampu menyebabkan kecacatan yang serius.

1. Sakit kepala

Antara tanda yang paling kerap berlaku adalah sakit kepala. Disebabkan ketumbuhan ini menekan-nekan otak, ia menyebabkan sakit kepala. Rasa sakit ini mungkin akan menjadi semakin teruk dari masa ke masa.

2. Perubahan penglihatan

Jika meningioma menekan saraf optik, ia mungkin menyebabkan perubahan kepada penglihatan, malah mampu membuatkan seseorang itu buta. Tanda-tanda awal termasuklah penglihatan berganda atau penglihatan kabur.

3. Masalah pendengaran

Jika meningioma menceroboh bahagian otak yang dikenali sebagai cerebellum, saraf kranial akan menjadi mampat menyebabkan kehilangan pendengaran. Ia juga boleh menyebkan telinga menjadi berdering.

4. Hilang daya bau

Olfactory groove meningiomas adalah jenis yang tumbuh di antara otak dan hidung. Apabila ketumbuhan ini berlaku sepanjang saraf ini, ia mampu menyebabkan hilang daya bau.

5. Masalah kawalan anggota badan

Kehilangan kawalan fungsi motor adalah tanda yang paling jelas boleh dirasakan. Ia biasanya berasa seperti lemah pada tangan atau kaki, atau tidak berdaya mengawal bahagian badan tertentu.

Apa yang harus dilakukan?

jika anda mempunyai mana-mana tanda seperti di atas dan secara berterusan atau semakin memburuk, disarankan anda untuk berjumpa doktor. Biasanya meningioma tidak dijumpai kecuali otak anda diimbas kerana alasan lain.

(Sumber: iluminasi.com)

Thursday, 19 April 2018

TIPS LEPASKAN DIRI DARI SEKSA KUBUR

Assalammualaikum wbt.
Salam 3 Syaaban 1439h


Aaminn Ya Rabb. Alhamdulillah. Kurang sebulan je lagi ni.=) Mudah-mudahan dapat kita merasa bulan Ramadhan tahun ini. InsyaAllah.

Saja nak share tips seperti yang telah dinyatakan dalam tajuk diatas. Apa yang penting, niat, amal ibadah kita.

AGAR DAPAT TERLEPAS DARI AZAB SEKSA KUBUR:


■ Jangan sekali-kali tinggalkan alQuran. Ini cara mudah lepaskan diri dari seksaan kubur.

■ Rumah yg dibacakan alQuran, pada waktu malam rumahnya bercahaya, sehingga dikenali malaikat.

■ Jika mati orang yg suka baca Quran ini, cahaya di rumahnya akan diangkat ke langit & malaikat-malaikat akan tau, "ooo..mati sudah si pembaca Quran ini, mari kita solatkan rohnya".

■ Di dalam kubur, malaikat akan berlemah lembut dgn mayat.

■ AlQuran akan duduk di dada kita selepas kita selesai dimandi & dikafankan & terus menemani kita di dalam kubur.

■ Azab kubur bermula sebaik mayat tidak dapat menjawab soalan malaikat.

■ Sesi soal jawab berlangsung selama 3 hari. Ada riwayat lain kata 7 hari.

■ Penting 7 hari ini kita mendapat doa dari anak yang soleh supaya hari-hari kita indah di dalam kubur.

■ Masa mayat duduk kita akan sedar, "ohh...aku dah meninggal dah".

■  Sebelum mati, tolong pastikan sekurang-kurangnya ada alMulk dalam dada kita.

■ Dalam kubur alQuran akan berkata kepada mayat, aku ini alQuran yg dulu kamu baca dgn suara yang lantang & mendayu.

■ Aku akan menemani kamu sehinggalah kamu masuk ke syurga.

■ Lepas tu baru alQuran akan lepaskan mayat kpd dua malaikat yg akan menyoal.

■ Jgn lupa salawat, cintailah Nabi sepenuh jiwa

WALLAHUA'LAM...

Dari :Ustaz Ahmad Dusuki @Radio IKIM
(Dipetik daripada facebook Majlis Ilmu)

Dari perkongsian tips kat atas ni kita boleh tahu apa yang paling membuatkan kita dapat terhindar dari terkena azab seksa kubur yang amat pedih itu (Wallahua'lam). Betul. AL-QURAN. Allahu. Jadi rajin2 kan diri kita ini membacanya ye. Bukan sekadar membaca dimulut sahaja, tapi jika boleh fahami maksudnya. Sama-sama kita muhasabah diri dan mempertingkatkan kualiti amal ibadah kita, ye. InsyaAllah.

Sekian, Wassalam. =)

Wednesday, 18 April 2018

BOLEH KE UCAPAN R.I.P PADA YANG BUKAN ISLAM?

Assalammualaikum wbt.
Salam 2 Syaaban 1439h


Sebenarnya tiada doa kebaikan R.I.P (rest in peace) bagi kematian bukan yang beragama islam. Ianya dilarang hatta kepada Nabi sendiri. Mengapa?


Dari Al-Musayyab bin Hazn bahawa Rasulullah SAW menziarahi Abu Talib (pakciknya) di saat-saat dia tenat menghadapi sakaratul maut. Baginda dapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah turut berada di sana. Rasulullah SAW bersabda: 

"Pakcik, ucaplah dua kalimah syahadah, aku akan menjadi saksi kamu di hadapan Allah." 

Lalu Abu Jahal dan Abdullah bin Abu Umayyah mencelah: 

"Wahai Abu Talib, sanggupkah kamu meninggalkan agama Abdul Muttalib?" 

Rasulullah tidak berputus asa malah tetap mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah serta berkali-kali mengulanginya. Sehinggalah Abu Talib menjawab sebagai ucapan terakhir kepada mereka bahawa dia tetap bersama dengan agama Abdul Muttalib malah enggan mengucapkan kalimah syahadah. 

Rasulullah SAW bersabda: 

"Demi Allah, aku akan pohonkan keampunan dari Allah untukmu selagi aku tidak dilarang"

Sehinggalah Allah menurunkan ayat yang bermaksud: 

"Tidak dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta ampun 
bagi orang-orang yang syirik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri. 
Telah nyata bagi mereka bahawa orang-orang syirik itu adalah ahli Neraka." 

Firman Allah bersempena dengan peristiwa Abu Talib bermaksud: 

"Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah iaitu petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya iaitu menurut undang-undang peraturannya dan Dia jualah yang lebih mengetahui siapakah orang-orang yang ada persediaan untuk mendapat petunjuk memeluk Islam."

(Sahih Muslim)
Wallahualam.


Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..

Tuesday, 17 April 2018

BELAJAR UNTUK MERENDAH DIRI

Assalammualaikum w.b.t.


Kerana tidak akan rugi orang yang besikap tawaduk. 
Ianya akhlak yang terpuji, memberatkan timbangan mizan di akhirat kelak.

Ego umpama gunung yang menghempap dada, menyebabkan dada kita rasa sesak.

Jangan sesekali merasakan diri kita ada kelebihan, merasakan diri kita ada kelebihan yang orang lain tiada.

Merasakan kitalah yang paling hebat, merasakan kita ini wajar dipuji & disanjung, dihormati.

Kerana hakikatnya semuanya milik ALLAH! Asal kita daripada nutfah, air mani, yang tidak punya harga.

Karya/Kredit art : @anisalleh.art

Sama-sama muhasabah diri. Sekian,Wassalam =)

AHLAN WA SAHLAN YA SYAABAN!

Assalamualaikum…
Salam 1 Syaaban 1439h

Selamat Menghadapi Bulan Sya'aban 1439H


Jom kita memperbanyakkan berpuasa pada bulan ini. Nantikan 15 Sya'aban (Nifsu Sya'aban) dimana pada malam itu diampunkan dosa-dosanya sebanyak bulu yang ada pada seekor Qibas bagi orang-orang yang memohon keampunan kepada ALLAH… Itu hanya perumpamaan sahaja sebagai pemahaman kita sebagai manusia, mungkin ia lebih banyak daripada itu. Subhanallah…^^


DOA BULAN SYA'ABAN

اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya ALLAH, berkahi kami di bulan Sya’aban dan sampaikan kami pada bulan Ramadhan”
Aamiin....


Sentiasa perbaiki amalan dan niat kita...semoga Allah SWT menyempurnakan segala yang kekurangan..jangan pernah putus harapan, doa dan rahmat dari-NYA..Allah sentiasa bersama kita. Jangan pernah melupakanNYA jika tidak mahu DIA melupakan kita..
Semoga bertambah amalan dibulan barakah ni..=)

Sekian,Wassalam =)

Baca entri Yaya sebelum ni tentang BULAN SYAABAN, ye


p/s:da ganti pose lepas2 lummmm????haaa 

Friday, 13 April 2018

6 PERKARA YANG ALLAH SEMBUNYIKAN

Assalammualaikum wbt

Tak lama dah... ^_^

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

“Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.” 

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 
“Tidak” 

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 

“Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.’ Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.“

Kemudian Jibrail as berkata: 
“Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?“

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. 
“Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal…“

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

“Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?“

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 

“Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan…. .”

SubhanaAllah. MasyaAllah. Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Wallahualam.

Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..

SUNNAH-SUNNAH KE MASJID

Assalammualaikum w.b.t
Salam 26 Rejab 1439h


Tengahari tadi dah selesai solat Jumaat,kan. Ingat nak post entri ni sebelum tu, jadi boleh la kot mana yang nak ikut sunnah yang Yaya kongsi ni boleh la sekali kan tapi terlewat pula, waktu bekerja kan biasalah, update entri curi-curi masa sikit je.hehe. Tak mengapa. Setiap hari kita pergi ke Masjid,kan. Mana yang sahih tu boleh la ikut, mana yang rasa macam tak munasabah tu tidak perlu ikut. Hm. Tak lama lagi nak Ramadhan kan..kaum hawa mesti ramai yang bersolat terawih di masjid. Jadi boleh la juga baca entri Yaya ni. Bukan khas untuk lelaki sahaja, ye.. ^,^


1. Mengambil wuduk dirumah.

Dari Ibnu Mas’ud, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

وما من رجل يتطهر فيحسن الطهور ثم يعمد إلى مسجد من هذه المساجد إلا كتب الله له بكل خطوة يخطوها حسنة،ويرفعه بها درجة،ويحطّ عنه بها سيئة

“Jika seseorang wuduk dengan sempurna, kemudian menuju masjid, maka Allah akan mencatat setiap langkahnya sebagai pahala untuknya, mengangkat darjatnya, dan menghapuskan dosanya…” (HR. Muslim)

2. Elak makan makanan yang berbau.

Hadis Jabir, bahawa Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثَوْمًا أَوْبَصَلاً فًلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ قَالَ فَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا وَلْيَقْعُدْ فيِ بَيْتِهِ

“Barang siapa yang makan bawang putih atau bawang merah maka hendaklah menjauhi kita”, atau bersabda, “Maka hendaklah dia menjauhi masjid kami dan hendaklah dia duduk di rumahnya." 
[HR Bukhari dan Muslim]

3. Memakai pakaian yang sopan dan suci.

Allah Ta’ala berfirman,

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

“Wahai bani Adam, gunakanlah perhiasan kamu setiap kali menuju masjid, 
makan dan minumlah kamu…” 
(QS. Al-A’raf: 31)

4. Mulakan memakai sandal atau kasut dari kaki kanan.

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau mengatakan,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam suka mendahulukan yang kanan, ketika memakai sandal, menyikat rambut, bersuci, dan yang lainnya.” 
[HR. Bukhari]

5. Membaca doa.

Antara doa yang dianjurkan ialah:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

“Dengan menyebut nama Allah aku bertawakal kepada-Nya, 
tidak ada daya dan upaya selain dari Allah semata” 
[HR. Tirmidzi no. 3426 dan Abu Daud no. 5095]

Hadis daif kerana sanadnya terputus namun boleh diamalkan dalam fadhail amal.

6. Jangan berlari ke masjid.

Abu Qatadah radhiallahu’anhu berkata, “Saat kami sedang solat bersama Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam, tiba-tiba beliau mendengar suara pergaduhan beberapa orang. Sesudah menunaikan solat baginda bertanya,

مَا شَأْنُكُم؟ قَالُوْا: اِسْتَعْجَلْنَا إِلىَ الصَّلاَةِ. فَقَالَ: فَلاَ تَفْعَلُوْا, إِذَا أَتَيْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ فَعَلَيْكُمْ بِاالسَّكِيْنَةِ  فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوْا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوْا

“Apa yang terjadi pada kamu semua?” Mereka menjawab, 
“Kami tergesa-gesa (berlari ke masjid) menuju solat.” 
Rasulullah menegur mereka, “Janganlah kamu lakukan hal itu. Apabila kamu mendatangi solat maka hendaklah berjalan dengan tenang, dan rakaat yang kamu dapatkan 
solatlah dan rakaat yang terlewat sempurnakanlah." 
[HR Bukhari, no 635]

7. Masuk ke masjid dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, mengatakan,

من السنة إذا دخلت المسجد أن تبدأ برجلك اليمنى، وإذا خرجت أن تبدأ برجلك اليسرى

“Termasuk ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, ketika kamu masuk masjid, kamu mendahulukan kaki kanan dan ketika keluar kamu mendahulukan kaki kiri.” 
(HR. Hakim, beliau sahihkan dan disetujui Ad-Dzahabi)

8. Doa ketika masuk masjid.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "jika salah seorang diantara kamu masuk ke masjid, bacalah doa

اَللّهُمَّ افْتَحْ لِيْ اَبْوَابَ رَحْمَتِكَ.

“A‌llahummaf-tahlii abwaaba rahmatika”.

“Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu”. 
[HR Muslim, no. 713]

9. Solat sunat tahiyatul masjid, jika sempat.

Pesan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam:

فَإِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يَرْكَعَ رَكْعَتَيْنِ

“Apabila kamu masuk masjid, jangan duduk, sehingga kamu solat dua rakaat.” 
(HR. Muslim)

10. Tambahan bagi jemaah wanita.

- Meminta izin dari suami atau mahramnya supaya tdak memberi ruang menimbulkan fitnah.
- Menutup aurat secara lengkap.
- Tidak berhias dan memakai perfume.

11. Jangan lalu di hadapan orang yang sedang solat.

Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam  bersabda,

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَي الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِيْنَ، خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Seandainya orang yang lalu di depan orang yang sedang solat itu mengetahui (dosa) yang ditanggungnya, nescaya dia memilih untuk berhenti selama 40 (tahun), itu lebih baik baginya daripada lalu di depan orang yang sedang  solat." 
[HR Bukhari 510]

12.  Doa apabila keluar dari masjid.

اَللّهُمَّ اِنِّيْ أسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ.

“A‌llahumma innii as-aluka min fadhlika”.

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu akan segala keutamaan-Mu”. 
[HR Muslim, no 713]

Wallahualam.

Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Sekian,Wassalam..

Sponsor





Popular Posts