PUASA QADHA VS PUASA ENAM SYAWAL

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَ بَرَكَا تُه

15 Syawal 1444H | 06 Mei 2023

PUASA QADHA VS PUASA ENAM DI BULAN SYAWAL: MANA SATU YANG PERLU DIDAHULUKAN ATAU BOLEH DISEKALIKAN

Pandangan Ulama Mengenai Hal Ini
• Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dan puasa qadha.

PANDANGAN PERTAMA: HANYA SAH PADA SATU NIAT SAHAJA
Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari (ulama di dalam mazhab Syafie) berpandangan, sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir;
“Jika seseorang berpuasa pada bulan Syawal untuk puasa qadha atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Pahala yang sempurna tidak akan diperoleh melainkan dengan hanya berniat puasa khusus untuk enam hari di bulan Syawal sahaja.”

PANDANGAN KEDUA: SAH NIAT KEDUA-DUANYA
Pandangan Imam Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Sulaiman al-Bujairimi, Imam as-Suyuthi dan ulama-ulama lain di dalam mazhab Syafie.
Imam Ramli (ulama mazhab Syafie) menukilkan dalam kitab Fatawa Imam Ramli iaitu:
“Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhan walaupun menggabungkan niat puasa qadha dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa enam hari di bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).”
Imam Ibnu Hajar al-Haitami (ulama mazhab Syafie) pula membincangkannya dalam kitab al-Fatwa al-Kubra:
“Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau jika diniatkan salah satu, maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.”

Dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi karya Imam Sulaiman al-Bujairimi (ulama mazhab Syafie) pula mengqiyaskan (menyamakan hukum) menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dan puasa qadha dengan pahala solat sunat Tahiyatul Masjid walaupun seseorang itu tidak melakukannya.

Beliau menyebutkan:
“Terhasil pahala solat sunat Tahiyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lain, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyatul Masjid tersebut.”

Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:
“Apabila masuk salah seorang daripada kamu ke dalam masjid, hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga, maksud ayat bagi ‘solat sebelum duduk’ yang disebutkan dalam hadis tersebut adalah termasuk dengan melakukan solat fardu atau solat sunat yang lain.
Imam as-Suyuti (ulama mazhab Syafie) menjelaskan dalam kitab Asybah Wan Nadzoir:
“Sekiranya seseorang berpuasa sunat, qadha atau nazar atau kafarah dan menggabungkan niat puasa sunat dengan wajib, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (niat secara umum) maka keadaan tersebut mengikut seperti hukum solat Tahiyatul Masjid.”

KHILAF ITU RAHMAT DAN PILIHAN, BUKAN BALA BAGI UMAT UNTUK MELAGAKAN

PANDANGAN KEDUA: BOLEH MEMILIH SAMA ADA PUASA QADHA ATAU PUASA ENAM TERLEBIH DAHULU

Jumhur ulama menyatakan hujah berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam safar (bermusafir) maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Ayat tersebut tidak menyatakan bahawa wajib menggantikan puasa dengan kadar segera. Justeru, dibolehkan sekiranya ingin melakukan puasa enam di bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa qadha.

PANDANGAN PERTAMA: PUASA QADHA TERLEBIH DAHULU
Yusuf al-Qaradawi cenderung untuk bersegera menggantikan puasa qadha terlebih dahulu:
“Saya memilih wanita itu mesti menggantikan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian barulah berpuasa sunat. Ini kerana, manusia tidak terjamin usianya. Orang sihat boleh jatuh sakit, orang muda akan menjadi orang tua dan orang yang kuat boleh menjadi orang yang lemah.”

KESIMPULAN:
Mengikut pendapat yang muktamad, afdhal (lebih baik) mengasingkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qadha.

Walau bagaimanapun, sah jika menggabungkan niat puasa enam di bulan Syawal dengan puasa qadha serta mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif (lemah).

Dibolehkan puasa enam terlebih dahulu jika:
1. Dibimbangi tidak sempat untuk puasa enam jika didahului puasa qada.
2. Sihat walafiat untuk puasa qada selepas itu.

Namun begitu, menyegerakan untuk menggantikan puasa terlebih dahulu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Wallahu A'lam.

RUJUKAN:
1. Al-Quran
2.Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir karya Syaikhul Islam Zakaria al-Ansari
3. Kitab Fatawa Imam Ramli karya Imam Ramli
4. Kitab al-Fatwa al-Kubra karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami
5. Kitab Hasyiah al-Bujairimi karya Imam Sulaiman al-Bujairimi
6. Kitab Asybah Wan Nadzoir karya Imam Suyuthi
Semoga bermanfaat buat semua.
Setiap hari yang datang 
adalah hari yang berharga.
Semoga kita senantiasa berada dalam 
rahmat, taufik dan hidayah Nya

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِم
“Mencari ilmu adalah kewajiban bagi setiap Muslim.”
(HR. Ibnu Majah)

 رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا 
Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, 
sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil.
Aamiin

Jom Selawat!! 💕
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞

Post a Comment

5 Comments

  1. su prefer buat asing sbb tak nak campurkan yg sunat (puasa 6) dgn yg wajib (puasa qada')

    ReplyDelete
    Replies
    1. samala anies. yaya pun buat asing. qada dulu. kalau sempat buat sunat baru buat =)

      Delete
  2. Tak boleh campur sebab puasa 6 tu sunat dan puasa ganti tu wajib
    benda wajib mmg dari usul fiqh tak boleh campur dgn amalan atau ibadah yg sunat.. sama seperti solat solat zohor fardu tak boleh campur niat solat sunat..
    tapi solat sunat boleh campur niat dgn solat niat yg lain.. contoh sahaja aku solat sunat taubat dan solat sunat witir 2 rakaat kerana Allah Taala.. gitu :D

    ReplyDelete
  3. selalunya bt yg qada dulu hehe.. baru bt sunat. itu pun struggle bila ada anak ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye yaya pun sama. last ritu smpat buat qadha dgn sunat.alhamdulillah. buat yg wajib dlu kan =)

      Delete