Assalammualaikum wbt
Salam Jumaat, 23 Ramadhan 1439h
Sekadar perkongsian dihari Jumaat penuh barakah ini sebuah kisah zaman sahabat baginda Rasulullah SAW ini. Kisah tentang seorang gadis....
Zinnirah adalah seorang gadis yang berasal dari Rome. Kehidupan keluarganya sangat miskin dan dalam keadaan serba kekurangan. Ketika berlaku satu peperangan besar di Rome, Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu menjadi tawanan perang. Sejak itu dia dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Sepanjang menjadi hamba abdi, Zinnirah dilayan dengan kasar dan adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya.
Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya. Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam diri Zinnirah kerana hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk Islam. Namun, dia terpaksa melakukan ibadat secara rahsia kerana tuannya memusuhi Islam.
Nasibnya lebih malang apabila dia bertukar tangan kepada bangsawan Quraisy yang sangat berpengaruh masa itu, Umar Al-Khattab. Ketika itu, Umar belum memeluk Islam dan juga tidak mengetahui keIslaman Zinnirah. Umar Al-Khattab yang sangat memusuhi Rasulullah. Terkenal dengan bengis dan kasarnya sehingga digeruni, baik lawan maupun kawan.
Akhirnya, Umar Al-Khattab mengetahui mengenai keIslaman Zinnirah apabila suatu hari dia mendengar gadis itu membaca Al-Quran. Ini menimbulkan kemarahan Umar Al-Khattab yang mahu menghukumnya dengan seksaan berat.
"Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?”
Tanya Umar Al-Khattab keras dengan wajah bak singa sambil mengheret Zinnirah ke tengah padang pasir.
Di situ, Umar Al-Khattab mengikat kaki dan tangan Zinnirah dan menjemurnya di tengah panas terik.
“Inilah caranya supaya kamu insaf!”
katanya lalu meninggalkan Zinnirah di situ.
Walaupun mukanya perit dipanah matahari dan kehausan, Zinnirah tabah menghadapi penderitaan itu sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan "ALLAH.. ALLAH… ALLAH... Allahuakbar... ALLAH... ALLAH..."
Apabila melihat hamba abdinya belum insaf, Umar menyeretnya ke pinggir kota dan mengikatnya di tiang. Dia menyuruh orang mengorek mata Zinnirah sehingga buta (ada juga sumber menceritakan dicucuk dengan besi panas)
“Ini untukmu Ya ALLAH. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat Syurga aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”
Inilah rintihan hati Zinnirah kepada ALLAH S.W.T ketika bermunajat kepada ALLAH di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi.
Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh Tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana Tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar Al-Khattab dan ALLAH mengizinkan ianya berlaku.
Penderitaannya itu akhirnya sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq yang membeli Zinnirah dengan harga tinggi. Sejak itu, dia tekun beribadat dan dengan kurnia ALLAH, kedua-dua matanya yang buta itu bercahaya semula. Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramai orang Quraisy memeluk Islam.
Dibalik tangisan kehambaan Zinnirah, dibalik kegagahan iman dalam jasad seorang wanita Islam, Zinnirah dipulihkan dengan kembalinya sinar cahaya dalam hidupnya setelah ALLAH memulihkan matanya.
Inilah Zinnirah, serikandi Islam bekas hamba kepada Umar Al-Khattab sebelum Umar memeluk agama Islam!
Wallahualam.
Wallahualam.
Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.
Sekian,Wassalam..
2 Comments
semoga kita dapat membentuk pribadi seteguh beliau
ReplyDeletecantik...nice template blogger.
ReplyDelete