Assalammualaikum wbt.
Salam 5 Jamadilakhir 1439h
Seorang anak murid yang bernama Ahmad menemui gurunya lalu menyatakan hasrat ingin berkahwin.
Kemudian Ahmad bertanya kepada gurunya "Ciri ciri perempuan bagaimanakah yang boleh aku dijadikan isteri?"
Gurunya menjawab "Beginilah, engkau masuk ke dalam hutan ini, kemudian engkau cari satu tumbuhan yang baik akarnya, sihat pokok dan daunya serta bau bunganya yang harum. Pilihlah yang terbaik dan engkau bawalah pulang. Tetapi ingat! Hanya satu tumbuhan sahaja yang engkau perlu bawa pulang"
Setelah mengangguk faham akan arahan tersebut, Ahmad pun mula menelusuri hutan yang tebal untuk mencari cari tumbuhan yang dikehendaki oleh gurunya.
Maka banyaklah tumbuhan yang ditemui oleh Ahmad sepanjang perjalananya di dalam hutan itu.
Ada tumbuhan yang kalau pun elok daun dan bunganya, tetapi buruk pula akarnya. Begitu juga ada yang ditemui harum bau bunga dan elok akarnya tetapi daun pula rosak telah dimakan ulat.
Ahmad terus berusaha mencari sehinggalah dia menemui tumbuhan yang elok sekali akarnya, bersih dan sihat pula pokok serta daunya. Tetapi amat malang kerana bunganya tidak berbau harum.
Ahmad menyukai tumbuhan tersebut tetapi terdetik pula dalam fikirannya, "Ah! Nantilah dulu. Lebih baik aku cari yang lain. Barangkali dihadapan sana nanti ada tumbuhan yang sama seperti ini dan bunganya pula harum"
Ahmad terus berjalan sehingga lelah tetapi masih juga tidak menemui tumbuhan yang lain sama seperti yang dia sukai tadi.
Oleh kerana Ahmad tidak menemui tumbuhan yang lebih baik, dia nekad untuk kembali dan mencari tumbuhan yang dia sukai tadi untuk dibawa pulang.
Tetapi amat malang sekali kerana dia tidak menemuinya. Puas dia mencari, tetapi tetap hampa.
Akhirnya Ahmad terpaksa pulang. Lalu diambilnya tumbuhan yang dirasainya okay yang ditemuinya dalam perjalanan pulang untuk dipersembahkan kepada gurunya.
Dengan badan yang lelah ditambah sedikit kecewa, terpaksa juga Ahmad menemui gurunya untuk mempersembahkan hasil tumbuhan yang ditemuinya.
Ahmad tidak menunggu lama, lalu menceritakan segala galanya tentang misi pencarian serta penat lelah mencari tumbuhan yang dikehendaki oleh gurunya itu.
Lalu gurunya berkata "Begitulah dalam kita mencari pasangan hidup. Jika engkau mencari kesempurnaan pada pasanganmu, maka engkau tidak akan sama sekali menemuinya. Hidup sebagai suami isteri itu adalah kehidupan yang lengkap melengkapi. Apa yang kurang pada isteri, suamilah yang akan melengkapinya. Begitu juga sekiranya suami mempunyai kekurangan, isterilah yang akan melengkapinya. "
Mungkin cerita ini seringkali kita telah baca dan dengar. Walaupun berbeza watak mahupun jalan cerita, tetapi mesejnya amat jelas sekali. "Tidak akan engkau temui kesempurnaan pada pasanganmu"
Mana mungkin ada manusia yang sempurna melainkan junjungan kita Nabi SAW.
Oleh kerana itu, yang belum punya pasangan, carilah pasangan menurut garis panduan yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Yang telah berumahtangga, jaga dan pertahankanlah hubungan kekeluargaanmu itu.
Kita ini manusia biasa dan pasti banyak sekali kekurangan ketika kita hidup bersama pasangan kita.
Akuilah diri kita ini penuh kekurangan. Lalu biarlah kita menjadi pelengkap kepada hidup pasangan kita dan pasangan kita melengkapi hidup kita.
Suburkanlah Iman dan Taqwa dalam diri kita dan pasangan. Demi Allah! dengan kerana ini sahaja, tidak ada yang lain lagi akan menjadi penguat hubungan kita dengan pasangan.
Maka Allah akan campakkan pula sakinah (ketenangan) dan kasih sayang ke dalam dada kita dan pasangan yang mana akhirnya kita akan merasai kebahagiaannya hidup sebagai suami isteri. Wallahu a'lam.
Peringatan bagi diri!
Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca dan sekaligus dapat sedikit ilmu dan info yang Yaya tolong share juga ni. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.
(sumber : akhi adif gorment)
Wassalam...=)
1 Comments
Tiada yang sempurna,sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain.Kehidupan sebagai pasangan berumah tangga,memang banyak sangat dugaan serta cabarannya.kuatkan hati..perbanyakkan amalan,insyallah.Dalaman kuat..
ReplyDelete