6 CARA MENJANA PAHALA DI LAMAN SOSIAL

Assalammualaikum wbt
Salam 28 Jamadilawal 1439h

Haa ni bukan pasal nak MENJANA PENDAPATAN ye. Jangan silap baca tajuk tu..haha. Tapi nak share macamana kita boleh berkongsi ilmu dalam laman sosial ni. Antaranya di FACEBOOK, INSTAGRAM, TWITTER, BLOG dan boleh juga di YOUTUBE. Dan juga laman sosial yang lain. Kita ni kalau boleh kurangkanlah POST perkara atau hal-hal yang tiada faedah bagi orang yang melihat dan membacanya.Kalau post mengenai perkembangan diri dan keluarga tu lainlah. Ini banyak cerita hal-hal yang tak sepatutnya. Orang yang TERlihat dan TERbaca pun mungkin ada yang naik meluat pula tengok..huhu. Jadi, jaga-jaga ye.

Ok. Macamana cara korang boleh share, kongsi ilmu dan perkara bermanfaat yang korang tahu tu antaranya adalah:

1. Update status anda dengan pengisian yang bermanfaat. Contohnya, menulis di status @ post gambar anda beberapa potong maksud ayat al-Quran, hadis, kata-kata salaf, yang anda rasakan ia akan memberi kesan kepada orang yang membacanya. Jika anda mempunyai 1000 friends, andaikata hanya 10% yang membacanya, anda sudah dikira menyebarkan kebaikan kepada 100 orang dengan cara yang cukup mudah.

Jika daripada 100 orang yang membacanya, hanya 10% yang terkesan dan mengamalkan kandungan status anda, anda sudah dikira menjadi penyebab kebaikan kepada 10 orang, dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Tapi awas! jangan terlalu 'boros' dalam membuat pengisian, nanti rakan-rakan anda akan boring membaca status dan post anda, kerana sudah menjadi tabiat manusia cepat bosan dan jemu dengan perkara yang berterusan dan sekata. Pilihlah pengisian yang betul-betul berkualiti dan berkesan. Dan variasikan ia samada dengan tulisan, gambar, video, dan lain-lain.

2. Jika anda terbaca status orang lain yang sangat bermanfaat dan boleh memberi kesan kepada orang lain, apa salahnya anda sebarkan status tersebut. Gunakan kemudahan share untuk tujuan perkongsian, atau copy paste sahaja apa yang anda ingin kongsikan dengan rakan anda. Lebih-lebih lagi, bagi pemegang akaun Facebook dan Instagram yang mempunyai list friends dan follower yang ramai, boleh membantu menyebarkan kebaikan yang ada pada status seseorang yang mempunyai bilangan friends yang sedikit. Mudah-mudahan termasuk dalam bekerjasama dalam dakwah.

3. Anda yang mempunyai maklumat tentang program-program ilmu (yang betul-betul), bolehlah mengiklankan program tersebut di laman Facebook, Instagram atau laman sosial lain yang ada dengan memberikan tajuk, nama penceramah, dan jadual pengajian. Manalah tahu, ada kalangan rakan kita yang tinggal berhampiran dengan lokasi tersebut dan mempunyai kelapangan, boleh mengambil faedah dari majlis-majlis yang berkat.

4. Atas semangat silaturrahim dan atas kesedaran betapa besarnya kewajipan mengeratkan silaturrahim, alangkah baiknya jika setiap keluarga mempunyai group tersendiri yang boleh menghimpunkan segala suku-sakatnya. Dalam group seperti ini, banyak kebaikan dapat dibuat, contohnya bertanya khabar antara ahli keluarga, meng-'update' berita-berita keluarga, menyelesaikan permasalahan ahli keluarga secara tertutup dan macam-macam. Walaupun perkara kecil, namun siapa sangka dengan semangat silaturrahim, Allah Taala akan memberkati hidup seseorang. InsyaAllah.

5. Jika anda mempunyai komen bernas dan bernilai terhadap sesuatu kandungan status orang lain, lakukanlah dengan penuh adab dan sopan seolah-olah anda sedang bercakap dengannya. Mungkin anda yang berpengetahuan tinggi boleh membuat penambahan maklumat, pembetulan kesilapan, pencerahan terhadap kekeliruan, dan lain-lain. Malahan, mungkin komen-komen untuk tujuan tersebut boleh sampai ke tahap fardhu kifayah jika di sana terdapat keperluan mendesak dari sudut Syarak, dan tiada yang boleh melakukannya kecuali anda.

6. Jika mereka yang mempunyai kemusykilan agama, boleh juga menggunakaan laman sosial sebagai tempat perbincangan. Tulislah soalan anda, dan tag kan ustaz-ustaz yang boleh dipercayai dan mempunyai masa untuk melayan soalan anda. Mudah-mudahan, ini sebagai satu cara melaksanakan arahan Allah SWT supaya bertanya kepada ahli ilmu dalam perkara-perkara yang tidak diketahui.

Semoga dengan melakukan perkara-perkara kecil di atas ketika melayari laman sosial, akan ada insan-insan yang beroleh kebaikan dari dakwah kita, akan ada pahala-pahala tercatat di buku amalan baik kita, akan ada dosa-dosa dihapuskan dari buku amalan jahat kita. Mudah-mudahan laman sosial yang dicipta oleh seorang bukan Muslim (Facebook contohnya) menjadi satu sebab kebaikan kepada seseorang Muslim. InsyaAllah. Wallahu a’lam.

Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca dan sekaligus dapat sedikit ilmu dan info yang Yaya tolong share juga ni. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.

Wassalam...=)

Post a Comment

2 Comments

  1. betul tu. Sosial media ni sama seperti pisau. Jika diguna untuk memotong sayur, ia memberi manafaat kepada kita. Tetapi jika diguna untuk membunuh orang, ia memberi keburukan kepada kita.

    ReplyDelete