Tuesday, 19 December 2017

LANGKAH DEMI LANGKAH YANG BERKESAN MENYEDIAKAN AIR RUQYAH ANDA SENDIRI

Assalammualaikum w.b.t.



Di dalam ilmu perubatan Islam, air adalah salah satu bahan terpenting yang paling banyak digunakan untuk merawat penyakit, terutamanya penyakit yang berkaitan dengan gangguan jin.

Bahkan di dalam Al-Quran, lebih khususnya pada Surah Sad ayat 42, Allah menceritakan bagaimana Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s dengan perantaraan air.

Maksud ayat tersebut ialah:


Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya: 
Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, 
lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum 
(bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)
~ Surah Sad ayat 42 ~

Tetapi, tak ramai yang tahu bahawa yang paling berkesan dan efektif ialah air tersebut dibacakan oleh diri orang yang hendak meminum air itu. Katakanlah air itu untuk Ahmad, maka yang paling baik ialah Ahmad sendiri yang bacakan pada air tersebut.

Dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan dengan anda langkah demi langkah bagaimana untuk menyediakan air ruqyah. Air ini boleh dibuat minum dan juga mandi.

Cara-Cara Penyediannya

1) Mulakan dengan membaca Bismillah hir rahman nirrahim. Isikan di dalam bekas atau botol dengan air. Jika digunakan untuk mandi, bolehlah digunakan air paip biasa. Kalau untuk minum, saya mencadangkan gunakan air mineral. Paling baik dan paling digalakkan jika anda ada air zam zam. Dan pastikan anda tinggalkan ruang kosong untuk udara lebih kuran 5 cm.

Nota: Saiz botol yang saya cadangkan ialah 1.5 liter. Anda juga boleh menggunakan botol yang bersaiz 5 liter, dengan syarat anda mampu untuk membaca ruqyah selama satu jam dalam keadaan fokus sepenuhnya.

Bagaimana untuk fokus?

Iaitu dengan memahami makna ayat ruqyah yang anda bacakan pada air.

2) Ikhlaskan niat di hati apabila membaca ruqyah iaitu untuk merawat, mengesan kewujudan jin, sihir, penyakit ain, masalah kesihatan dan lain-lain. Inilah alasan paling kukuh mengapa si pesakit sendiri membaca ruqyah pada air.

Kesan sebenar bacaan ayat-ayat ruqyah ialah datangnya dari nafas orang yang membaca. Oleh itu, ketika membaca sebaiknya dekatkan mulut anda ke lubang botol dan bernafas terus ke dalam botol. Gelombang, getaran dan visualisasi akan memberikan kesan langsung kepada air yang diruqyah.

3) Baca ayat-ayat di bawah atau mana-mana ayat yang anda tahu dengan penuh keikhlasan, fokus dan hayati makna-maknanya. Perlu diingat bahawa membaca sedikit surah tetapi dengan penuh fokus adalah lebih baik daripada membaca surah-surah atau yang panjang tetapi kurang atau tiada fokus.

Tip dari saya, untuk mendapatkan fokus, pastikan anda tahu makna setiap ayat yang anda baca. Baca ayat-ayat di bawah:
  • Ta’awuz iaitu A’uzubillah hi minasy syaithonirrajim.
  • Bismillah.
  • Membaca Surah Al-Fatihah (7x)
  • Surah al-Baqarah ayat 1-5
  • Surah Al-Baqarah ayat 102 (untuk mengesan sihir atau ilmu hitam) (7x)
  • Surah al-Baqarah ayat 163 hingga 164
  • Surah Al-Baqarah ayat 255
  • Surah Al-Baqarah ayat 285 hingga 286.
  • Surah Ali-Imran ayat 18 hingga 19
  • Surah Al-A’raf ayat 54 hingga 56
  • Surah Al-A’raf ayat 117 hingga 122 (untuk mengesan sihir atau ilmu hitam) (7x)
  • Surah Yunus ayat 81 hingga 82 (untuk mengesan sihir atau ilmu hitam) (7x)
  • Surah Taha ayat 65 hingga 69 (untuk mengesan sihir atau ilmu hitam( (7x)
  • Surah Al-Mukminun ayat 115 hingga 118
  • Surah As-Saffat ayat 1 hingga 10
  • Surah Al-Ahqaf ayat 29 hingga 32
  • Surah Ar-Rahman ayat 33 hingga 36
  • Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24.
  • Surah Al-Jin ayat 1 hingga 9.
  • Surah Al-Ikhlas (3x)
  • Surah Al-Falaq
  • Surah An-Nas

Pastikan setiap kali anda membaca Surah ataupun set-set ayat ruqyah (contoh seperti Surah Al-Hasyr ayat 21 hingga 24), meludah sedikit ke dalam air yang anda ruqyah tersebut.

4) Selepas selesai, tutup botol itu dan goncang sedikit. Air ruqyah yang telah dibacakan dengan ayat-ayat dan surah di atas boleh digunakan untuk minum dan juga mandi (samada dengan limau nipis/purut ataupun dengan daun/gel bidara).

Itu sahaja..

Dapat sesuatu? Harap dapat manfaat dan berkongsi dengan rakan atau keluarga yang memerlukan. InsyaAllah...
Sumber : perawat islam

Sekian,Wassalam..

1 comment:

  1. Pernah dapat dari sahabat, sebab dia boleh ubat org, tapi tak ada keyakinan untuk buat sendiri.

    ReplyDelete

Sponsor