SEMARAK CINTA RASUL - 5

Assalammualaikum w.b.t.
Ini sambungan daripada ENTRI 4 semalam..sila jangan jemu membacanya kerana ia adalah untuk menambah ilmu pengetahuan kita bersama..ok! peace! SELAMAT MEMBACA! ^,^

-11-

TINGGALKAN YANG MERAGUKAN
 
Daripada Abu Muhammad al-Hasan ibn Ali ibn Abu Talib r.a.,cucu Rasulullah SAW dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW hadis: Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau.
Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaai.

-12-
KESEMPURNAAN ISLAM SESEORANG
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian.

Seseorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

-13-
UKHWAH ISLAMIAH
 
Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam Rasulullah SAW, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman. lman seseorang mukmin tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama.

-14-
HALALNYA DARAH SEORANG MUSLIM
Daripada lbnu Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Darah seseorang muslim tidak halal kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; janda yang berzina, nyawa dengan nyawa dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri daripada jamaah.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Menurut hukum Allah seorang mukmin adalah terjamin keselamatan nyawanya, darahnya dan harta bendanya daripada sebarang pencerobohan dan kezaliman. Apabila berlaku pencerobohan terhadap darah, harta dan maruahnya dia berhak menuntut balas mengikut peruntukan syara'.


-15-
ETIKA ORANG BERIMAN
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.

Seorang yang benar-benar beriman akan menjaga lidahnya daripada berbicara perkara haram kerana dia akan dipersoalkan di hari qiamat nanti. Dia lebih senang diam daripada berkata buruk seperti mengumpat, mengeji, mencaci, memaki hamun dan mencarut. Seorang yang benar-benar beriman akan menghormati jiran tetangga dan tetamunya, menyempurnakan hak mereka dan tidak menyakiti mereka.

-16-
JANGAN MARAH
Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.
Jangan marah ertinya mengelakkan sebarang sebab yang membawa kepada kemarahan. la juga bererti menahan marah bila dia marah. Erti menahan marah ialah menahan dari melaksanakan tuntutan ledakan marah seperti memukul, memaki hamun atau mengamuk.

-17-
KEBAIKAN PADA SEMUA PERKARA
Daripada Abu Ya'la Syaddad ibn Aus r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

lslam adalah agama Ehsan. Ehsan bererti berbuat baik.Tuntutan ehsan bererti sesuatu kerja mesti dilakukan dengan benar-benar sempurna dan cemerlang, bukan sekadar melaksanakan kerja semata-mata.

-18-
BERTAKWA PADA ALLAH DAN AKHLAK TERPUJI
Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az ibn Jabal, r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. 
-19-
JAGALAH ALLAH, NESCAYA ALLAH MENJAGAMU
Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaranlembaran telah kering (dakwatnya).
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi.
-20-
MALU SEBAHAGIAN IMAN
Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.
Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat. Malu sejati ialah malu yang didorong oleh perasaan lman kepada Allah.

-21-
ITIQAMAH DAN IMAN
Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
-22-
SYARAT KE SYURGA
Daripada Abu Abdullah Jabir ibn Abdullah al-Ansarie r.a.(beliau meriwayatkan):
Bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

-23-
KEBERSIHAN SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
-24-
HARAM MELAKUKAN KEZALIMAN
Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman: Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
-25-
BERSEDEKAH BUKAN SAJA DENGAN HARTA
Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan): Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orangorang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnyapun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala.
Hadis riwayat al-lmam Muslim.

akan bersambung..
Sekian,Wassalam =)





Post a Comment

9 Comments