SALAM ISRAK MIKRAJ

Assalammualaikum wbt
#sajakongsi

MULIANYA SI TUKANG SIKAT


Sebenarnya wanita situkang sikat rambut puteri Firaun yang memerintah Mesir, tidak diketahui oleh sejarah nama sebenarnya. Dia hanya digelar Masyitah kerana tugasnya menyisir atau menyikat rambut puteri Firaun. Masyitah (ماشطة) bermakna tukang sikat, dari kata kerja ‘masyata’, ‘yamshitu’ ( مَشَطَ، يَمْشِطُ) yang bererti menyikat.

Suatu hari ketika beliau menyisir rambut puteri Firaun tersebut, sikatnya terjatuh. Ketika dia menunduk untuk mencapai sikat tersebut tersasul dari mulutnya,
“Bismillah” (Dengan nama Allah)

Puteri Firaun bertanya “Ayahku ke?”

Tukang sikat itu menjawab, “Bukan, tetapi Tuhan aku, dan ia adalah Tuhanmu dan Tuhan ayahmu juga.”

Puteri Firaun lantas mengadu kepada bapanya. Lalu Firaun memanggil tukang sikat tersebut dan menyoal,

"Wahai perempuan! Kamu ada tuhan lain selainku? Siapa tuhanmu?"

“Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH” jawabnya.

Firaun murka lalu menyuruh orangnya memanaskan minyak dalam kuali tembaga besar dan memerintah supaya dibawa ketiga-tiga anak tukang sikat tersebut.

Firaun kemudian memerintahkan orangnya menjulang anak sulungnya untuk dilempar ke dalam kuali tersebut.

“Amaran terakhir siapa Tuhanmu?” 
bentak Firaun

“Tuhan ku dan Tuhanmu adalah ALLAH”

Lalu dicampakkan anak tersebut ke dalam kuali, digoreng sehingga timbul tulang temulangnya. Perempuan tersebut melihat anaknya dengan linangan air mata.
Kemudian dibawa anak kedua.

“Siapa Tuhanmu?”

“Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH”

Anak keduanya juga dihumban ke dalam kuali, digoreng sehingga timbul tulang temulangnya.

Kemudian diambil pula anak bongsunya yang masih menyusu. Kali ini wanita itu, tergamam dan timbul perasaan kasih dan sayang pada anaknya itu. Perasaan kasihan kepada anaknya itu hampir membuatkannya mengalah. 

Tetapi ALLAH Maha Kuasa, Anak kecil itu tiba-tiba berkata,

“Jangan takut ibuku, azab dunia lebih ringan dari azab akhirat. Katakanlah Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH”

kata-kata yang hanya didengari oleh ibunya sahaja. Kali ini wanita itu bertempik “Tuhanku dan Tuhanmu adalah ALLAH”

Lalu Firaun memerintahkan anak tersebut dicampak dengan ibunya sekali.
Firaun kemudian memerintahkan agar tulang temulang mereka dikeluarkan dan dibuang di sebuah kawasan lembah.

Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah ﷺ dibawa oleh Jibril AS melalui kawasan lembah tersebut. Di situ Rasulullah ﷺ tercium bau yang sangat wangi seperti bau kasturi dan ‘Ambar’.
“Alangkah wanginya. Bau apakah ini wahai Jibril?” Rasulullah ﷺ bertanya
“Itulah bau situkang sikat (ماشطة) dan anak-anaknya.”
(Mafhum hadis riwayat Ad-Darimi, Imam Ahmad dan ibnu Hibban dengan sanad dari Ibnu Abbas)

* Ujian yang ALLAH beri kepada kita sangat kecil. Ujian yang kecil, markahnya kecil juga. Ujian yang besar sudah tentulah syurga imbalannya.

Ya ALLAH Ya Tuhanku janganlah Kau uji kami kecuali dengan ujian yang kami mampu hadapinya.

Aamiin.

Kredit : Lukisan Dakwah Islam


Post a Comment

4 Comments

  1. assalamualaikum yaya.. salam israk mikraj.. semoga kita mengambil pelbagai kisah mereka yang terdahulu dan mempraktikkan mana yang baik dalam kehidupan sehari-hari kita..

    ReplyDelete
  2. Subhanallah... Alhamdulillah. Murninya hati si tukang sikat itu. Memang syurgalah tempatnya. Salam Israk Mikraj buat sahabat

    ReplyDelete