REDHA DENGAN UJIAN ALLAH

Assalammualaikum wbt.
5 Rabiulakhir 1440h



Sebagai seorang mukmin yakinlah Allah sayangkan kita. Dengan ujian, hadirnya perasaan bergantung harap padaNya. Dengan ujian, ianya dapat melatih hati sanubari kita agar redha dengan keperitan hidup yang menusuk jiwa raga.

Hayatilah hadis di bawah ini yang menggambarkan keindahan sifat redha:

“Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka diuji. 
Barang sesiapa redha menerima ujian itu, Allah redha pula kepadanya. 
Dan barang siapa yang marah, maka Allah murka kepadanya.”

(Hadis riwayat at Tarmizi)

Ada yang tak redha apabila isterinya tidak pandai masak. Ada yang tidak redha apabila suaminya itu tidak mewah kehidupannya.

Ada yang tidak redha bila di uji dengan penyakit. Ada yang tidak redha  kerana kegagalan dalam perniagaan. Ini semua penyakit hati yang perlu dibersihkan.

Penawar penyakit ini adalah kembali pada Allah. Kita jaga solat, Allah jaga kita. Rendahkanlah suara penuh khusyuk tatkala menongkat tangan ke langit (berdoa).

Berzikirlah siang dan malam. Berjagalah malam solat tahajud menghadap wajah ke arah kiblat. Hayatilah al-Quran dari segi makna dan tafsirannya

Alunan al-Quran menjadi penawar mujarab duka lara. Hiasilah diri dengan sifat terpuji seperti sedekah, sopan, pemalu, berlumba lumba mengejar kebaikan dan rendah diri.

Cucilah jiwa ini dengan majlis ilmu. Barangsiapa yang menempah jalan menuntut ilmu yang benar, insyaAllah syurga ganjarannya.

Ujian ini pencuci dosa. Jangalah putus asa wahai insan. Sesungguhnya redha itu ajaib. Tawakal itu ajaib.

Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam samada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan mengingatkan apa yang telah berlaku hinggakan tikaman duri yang mencucuknya, melainkan Allah menghapuskan sebahagian daripada dosanya.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُشَاكُ شَوْكَةً فَمَا فٌوْقَهَا إِلَّا كُتِبَتْ لَهُ بِهَا دَرَجَةً وَ مُحِيَتْ عَنْهُ بِهَا خَطِيْئَةً – مسلم

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya,

”Tidaklah dari seorang Muslim yang tertusuk duri hingga apa-apa yang lebih berat darinya, kecuali dicatat baginya derajat dan dihapus darinya dengan hal itu kesalahan

(Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, para ulama berkesimpulan bahwa segala musibah yang menimpa seorang Muslim, maka itu akan mendatangkan balasan berupa pahala dan pengampunan terhadap dosa.

Jangan memberontak dan marah tatkala ujian yang menimpamu. Redhalah dengan ujianmu. Redhalah dengan keperitan jiwamu. Semoga ujian ini menjadi pengasah jiwamu.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? …..”

(Surah Al-Ankabut: 2-3)

Kesimpulannya , apabila kita sabar dan redha ujian di dunia ini yakinlah Allah SWT akan redha pada kita di dunia dan akhirat.  Jika dipilih mendapat redha Allah tidak ada balasan yang terbaik melainkan syurga. Aamiin. InsyaAllah =)

Post a Comment

1 Comments

  1. Dimulakan dengan usaha, kemudian doa, tawakal dan baru redha. Semoga setiap ujian yang diberikan-Nya memberi kematangan dan semangat kepada kita.

    www.maisarahsidi.com

    ReplyDelete