Assalammualaikum wbt
Salam 20 Ramadhan 1439h
Lailatulqadar. Malam yang paling teristimewa di dalam bulan yang teristimewa iaitu bulan Ramadhan. Malam yang diidam-idam dan dicari-cari oleh umat Islam di seluruh dunia yang hanya dikurniakan pada bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Malam keberkatan dan keampunan, yang diturunkan Allah kepada kita bagi meraikan bulan Ramadhan. Bagi yang sedang membaca artikel ini, anda sangatlah bertuah kerana masih berpeluang bertemu dengan malam ini.
Umum tahu pahala amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan digandakan sebanyak 70 kali. Dan bagi mereka yang berjumpa atau bertuah dapat beribadat pada malam keberkatan ini pula, segala amalan tersebut akan dilakukan sebanyak 1000 bulan iaitu bersamaan dengan 83.3 tahun. Usia umat Nabi Muhammad tidak seperti umat-umat yang sebelumnya yang hidup ratusan tahun, jadi usia kita yang pendek tidak dapat menandingi amalan umat-umat terdahulu. Namun, kita masih berpeluang menambahkan pahala kita dengan beramal sepenuh amal, pada malam al-qadr ini.
Amalan pada Malam Lailatul Qadar
1. Melakukan I’tikaf
Aisyah RA berkata:
“Sesungguhnya Nabi melakukan i’tikaf pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan sampai Allah mewafatkan beliau, kemudian isteri-isteri beliau melakukan i’tikaf setelahnya
[Hadits yang semisal dengannya ialah, hadits Abdullah bin Umar].
Hadis lain dari Aisyah, ia berkata:
“Rasulullah SAW bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, yang kesungguhannya tidak seperti pada waktu-waktu lainnya”
Ada juga hadits lainnya dari Aisyah, ia berkata:
“Nabi S.A.W, apabila memasuki sepuluh malam terakhir, (baginda) mengikat sarungnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan istri-istrinya (untuk solat malam)”
2. Memperbanyak Doa
Ibnu Katsir berkata:
“Dan sangat dianjurkan (disunnahkan) memperbanyakkan doa pada setiap waktu, terlebih lagi di bulan Ramadhan, dan terutama pada sepuluh malam terakhir, di malam-malam ganjilnya”
Doa yang dianjurkan Rasulullah S.A.W:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
[Allahumma innaka `Afuwwun TuHibbul `Afwa Fa`fu `Annii]
Ya Allah, Engkau Maha Pengampun,
Engkau mencintai pengampunan, maka ampunilah aku.
Daripada Aisyah RA:
“Aku (Aisyah) bertanya: “Wahai, Rasulullah. Seandainya aku bertepatan dengan malam Lailatul Qadr, doa apa yang aku katakan?” Beliau menjawab: “Katakan:
Ya, Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf,
dan Engkau menyukai maaf. Maka, maafkan aku”
3. Menghidupkan Malam Lailatul Qadr Dengan Melakukan Solat Atau Ibadah Lainnya
Abu Hurairah berkata:
“Dari Rasulullah S.A.W , baginda bersabda:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (dari Allah), nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.
Dan barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan (dari Allah), nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”
Sekurang-kurangnya berjemaah Isyak dan Subuh
Jika anda betul-betul sibuk dan terlalu letih untuk bangun solat malam, paling kurang pun pastikan anda solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Seperti sabda Rasulullah S.A.W:
“Barangsiapa solat maghrib dan Isya secara berjemaah sehingga habis bulan Ramadhan maka sungguh ia telah mendapat bahagian yang banyak dari lailatul qadar.”
4. Berzikir dan membaca ayat al-Quran
Memperbanyak membaca zikir dan ayat al-Quran yang mengandung nilai lebih seperti ayat kursi, akhir surat al-Baqarah, surat al-Zalzalah, al-Kafirun, surat al-Ikhlas, surat Yasin kerana semua ayat-tersebut memiliki fadhilah yang besar sebagaimana tersebut dalam beberapa hadis.
Selain itu juga dianjurkan memperbanyak membaca istighfar, tasbih, tahmid, tahlil, selawat kepada Nabi Muhammad SAW, dan berdoa untuk diri sendiri dan orang-orang yang kita sayangi baik yang masih hidup ataupun yang telah meninggal. (Hasyiah Shawy `ala Jalalain jilid 4 hal 455)
Disebutkan sebagian ulama : “Barang siapa solat pada malam lailatul qadar solat sunat empat rakaat, setelah fatihah membaca surat at-Takatsur dan surat al-ikhlash 3 kali maka akan dimudahkan baginya sakratul maut, dan dihilangkan kan azab kubur dan diberikan empat tiang dari nur yang masing-masing diatasnya ada seribu malaikat.” ( Syeikh Daud al-Fathany, Jam`ul Fawaid hal 114)
Kesimpulan
Jadi begitu lah bukti bahawa Lailatul Qadar ini sangat lah istimewa sehinggakan Rasulullah S.A.W menggesa kita mencarinya, walaupun kita tidak berupaya (sakit atau demam). Janganlah kita melepaskan peluang untuk bertemu dengan malam ini kerana kita sendiri tidak tahu sama ada kita masih berpeluang untuk bertemu dengan malam istimewa ini lagi tahun hadapan. Jadi rebutlah peluang yang masih ada. Jika kita tidak pernah bangun malam dan solat sunat, jadikanlah bulan Ramadhan tahun ini adalah permulaan kita untuk mendapatkan keredhaan dan keampunan Allah S.W.T. Semoga kita semua diberkati.
Sumber: iluminasi.com
Wallahualam.
Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.
Sekian,Wassalam..
1 Comments
semoga kita dipertemukan dengan lailatulqadar
ReplyDelete