Assalammualaikum wbt
Salam 6 Syawal 1439h
Ziarah kubur bertujuan mengingat mati supaya kita tidak leka dengan nikmat dunia. Firman Allah swt,
أَلْهَـٰــكُمُ التَّكَاثُرُ. حَتَّى زُرْتُمُ المَقَابِرَ
Yang bermaksud, Bermegah-megah telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk ke dalam kubur[1].
Mengingati mati juga adalah satu cara membersihkan hati, hadith Nabi saw, yang bermaksud,
Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat.
Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya?
Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.
Ulamak menyatakan ada tiga perkara untuk merawat hati:
Taat kepada Allah.
Memperbanyakkan mengingati mati.
Menziarahi kubur orang Islam.
Islam menggalakkan kita mengingati mati supaya kita sedar dan membuat persediaan untuk mati. Membuat persediaan untuk mati adalah sebahagian daripada Taqwa sebagaimana pentakrifan Taqwa oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah:
Taqwa ialah takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, redha dengan yang sedikit dan membuat persediaan untuk hari kematian.
Hukum menziarahi kubur adalah HARUS dengan dengan adab-adab yang digariskan oleh Syariat. Manakala menziarahi kubur kaum kerabat terutama ibu bapa adalah SUNAT MUAKKAD. Makin bertambah pahalanya jika kubur ibu bapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat atau hari raya dan dibaca surah Yasin di sisinya. Hal ini berdasarkan hadith,
Yang bermaksud, Dari Abu Hurairah ra berkata: Sabda Nabi saw:
Barang siapa menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya, tiap-tiap hari Jumaat nescaya diampunkan baginya dan dicatit sebagai (anak) yang berbakti.
Begitu juga hadith,
Yang bermaksud, Daripada Ibn Umar ra berkata:
Sesiapa menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya dengan penuh keikhlasan ianya menyamai pahala haji yang mabrur dan sesiapa menziarahi kedua-duanya maka malaikat akan menziarahi kuburnya pula.
Kebiasaan pengunjung akan memberi salam dahulu kemudian berdoa semoga Allah memberikan rahmat dan maghfirahNya (keampunan) kepada simati. Daripada Ibnu Mas‘ud, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Aku melarang kamu menziarahi kubur maka ziarahlah kubur. Ini kerana dengan menziarahi kubur menjadikan kamu bersederhana dengan dunia dan mengingati akhirat.
Bertahlil atau berdoa adalah untuk menolong simati. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
Tiadalah orang yang mati di dalam kuburnya melainkan seperti orang yang tenggelam meminta pertolongan menanti doa yang ada perhubungannya daripada bapanya, atau saudaranya atau kawan temannya. Dan apabila dia mendapati orang mendoakannya adalah terlebih kasih baginya daripada dunia dan segala isinya.
Riwayat al-Dailimi
Hadith tentang menghadiah pahala al-Quran kepada ahli kubur, yang bermaksud, Daripada Nabi SAW bersabda:
Sesiapa memasuki kawasan kubur dan membaca (قل هو الله أحد) sepuluh kali serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati, maka Allah ampunkan si mati dan memasukkan cahaya dan kegembiraan ke dalam kubur mereka. Allah akan tulis pahala si pembaca dengan sepuluh kebajikan, mengikut bilangan mayat yang mati bermula dari hari Nabi Adam dicampakkan ke bumi hinggalah ke hari kiamat.
NABI SAW ZIARAH KUBUR HARI RAYA
(Ijtihad Imam Badruddin al-aini)
Imam Badruddin al-aini w855h , Pensyarah Sahih Al-Bukhari dalam kitab nya Umdatul qari, ketika mensyarahkan hadis Nabi saw yang pulang dengan jalan yang berbeza dari solat Aidilfitri, beliau menyebut 20 hikmah dari perbuatan Baginda saw tersebut,salah satu hikmahnya ialah;
ليزور أَقَاربه الْأَحْيَاء والأموات.
‘Iaitu untuk Baginda saw menziarahi kerabat Baginda yang hidup dan yang mati’.
Penjelasan ini menunjukkan Baginda saw menziarahi kubur ketika pulang dari solat Aidilfitri. Ini adalah ijtihad dari ulamak muktabar dari kalangan muhaddisin, juga sejarahwan setaraf dan sezaman dengan Imam Ibn Hajar Al-asqalani.
Sumber : baituljannah.com
Waallahua'lam
Sekian perkongsian dari Yaya. Terima kasih buat yang sudi singgah membaca. Moga ada manfaat buat yang membaca. Segala teguran berhemah dan ke arah kebaikan adalah amat dialu-alukan. Maaf andai ada tersilap bahasa, informasi. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu dari diri Yaya sendiri.
Sekian,Wassalam..
3 Comments
Al-fatihah buat mereka yang telah pergi.
ReplyDeletesedihnya ada yg pergi ziarah tp x jg adab. duduk ats kuburan laa selfie laa... plg teruk sempat lg tu dok mengorat
ReplyDeleteZiarah kubur utk mendoakan arwah dan mengingati mati.. Insyaallah..
ReplyDelete