DIA TIDAK PERNAH MENGANTUK DAN TIDAK PERNAH TIDUR

Assalammualaikum wbt.
Salam 16 Rejab 1439h

"Ayah, boleh ke Allah jaga semua (makhluk)? Nanti Dia penat macam mana? Kesian Dia, kakak boleh tolong".

Saya tidak terkejut dengan soalan Raihana yang baru berusia 5 tahun itu kerana ia adalah salah satu daripada berbelas belas soalan yang pernah diajukan untuk dia mengenali Allah SWT.

Saya jawab, "Allah sangat berkuasa jaga kita semua. Allah tidak perlukan bantuan. Dia jaga kakak, ayah, ibu, adik dan semua". Raihana mengangguk tanda faham lalu dia meneruskan celotehnya.

Fikiran saya tidak terus memikirkan celoteh Raihana lagi, tetapi telah beralih ke sebahagian ayat kursi yang selalu kita baca untuk direnungkan sedalam dalamnya.  Firman Allah SWT yang bermaksud ;

"tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur". 
[2:255]

Begitulah apabila Allah SWT menguruskan seluruh makhlukNya. Tidak ada satu waktu pun dimana Allah SWT akan 'terlepas pandang atau terlena' terhadap setiap urusanNya.

Sebenarnya ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT Maha Berkuasa dalam mengurus setiap makhlukNya dan tidak ada satu pun yang berlaku ke atas makhluk makhlukNya diluar pengetahuan Allah. Tidak ada sama skali!

Bahkan pengawasan Allah SWT terhadap hamba hambaNya adalah sangat terperinci dan tidak pernah sekali kali Dia terlalai sedikit pun.

Sekiranya kita faham hakikat ini, apakah Allah SWT yang tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur akan tersalah beri rezeki kepada kita setelah kita berusaha sebaiknya? Sudah semestinya tidak sama sekali!

Apakah Allah SWT yang tidak pernah culas atau terlalai daripada mengawasi serta memerhati makhluk makhlukNya akan 'terlepas pandang' sekiranya hamba hambaNya bermaksiat? Tidak sama sekali! Kerana ahli maksiat yang tidak bertaubat pasti tidak akan terlepas daripada azab siksa.

Allah SWT berfirman lagi di dalam Al Quran yang bermaksud ;

"Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah 
mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi?" 
[22:70]

Sesungguhnya begitulah ilmu Allah SWT yang tidak pernah terbatas dan Dia sangat mengetahui akan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi, yang ghaib dan yang nyata semuanya tidak ada yang diluar daripada kekuasaan dan pengetahuan Allah SWT.

Oleh kerana itu, sebahagian manusia yang elok imannya, ketika dia dizalimi dan dikhianati oleh manusia yang lain, sekiranya dia tidak diberi pengadilan seadil adilnya di dunia, dia tetap tidak merasa gelisah kerana dia tahu dan yakin dia akan diadili oleh Allah SWT dengan seadil adilnya di akhirat nanti.

Manakala pula mereka yang berusaha memperjuangkan agama Allah SWT dengan jiwa dan hartanya, tidak akan ada seorang pun yang akan disia siakan oleh Allah SWT. Semuanya pasti akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikkan.

Mengakhiri bicara ringkas ini, saya menasihati dari ini dan semua agar sentiasalah merasakan Allah SWT ada  mengawasi dan memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan.

Kerana dengan cara ini juga akan membuatkan kita sentiasa berhati hati dalam menjalani kehidupan dunia ini agar tidak tergelincir kepada perkara perkara yang dimurkai oleh Allah. 

Wallahu'alam.

Post a Comment

6 Comments