AURAT WANITA

Assalammualaikum wbt.
Salam 16 SYaaban 1439h


Hari ni, nak berkongsi pula sedikit ilmu pengetahuan mengenai AURAT WANITA..yang bukan hanya wanita sahaja patut tahu tapi ahli keluarga lain yang berlainan jantina juga patut tahu agar dapat memberi peringatan pada adik-beradik, saudara perempuan yang lain.

Apakah aurat wanita dengan suaminya?

Tidak ada aurat antara suami dan isteri. Harus bagi suami melihat ke seluruh badan isterinya termasuk kemaluannya. Namun melihat kepada kemaluan adalah makruh secara umumnya termasuklah melihat kepada kemaluan sendiri.

Apa maksud lelaki ajnabi? Apakah batasan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi?

Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini.[1] Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.

Apa dalil bagi aurat di hadapan lelaki ajnabi di atas?

Dalilnya ialah firman Allah;

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka 
kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutup belahan 
leher baju mereka dengan tudung kepala mereka. 
(an-Nur; 31).

Ayat di atas melarang seorang perempuan beriman mendedahkan perhiasan di badannya (kecuali yang zahir darinya). Ayat ini menjadi dalil yang cukup jelas bahawa seorang wanita wajib menutup auratnya di hadapan kaum lelaki ajnabi (iaitu lelaki yang bukan suami atau mahramnya yang dikecualikan Allah dari perintah tersebut yang akan dijelas nanti)

Siapakah mahram bagi seorang wanita? Apakah batasan aurat wanita di hadapan mahramnya?

Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;

1. Bapa kandung
2. Bapa mertua
3. Bapa susuan
4. Anak kandung
5. Anak tiri (yakni anak suami)
6. Anak susuan
7. Saudara lelaki kandung
8. Saudara lelaki susuan
9. Anak saudara lelaki
10. Bapa saudara

Di hadapan mahram-mahram di atas, tidak diwajibkan wanita menutup badannya kecuali kawasan antara pusat dan lutut sahaja. Ini adalah pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’e dan Abu Hanifah). Jadi menurut jumhur ulamak; aurat seorang wanita di hadapan mahram-mahramnya hanya antara pusat dan lutut sahaja.

Namun ulama’-ulama’ mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat; hanya bahagian muka, kepala, leher/tengkuk, dua tangan dan dua kaki sahaja yang harus didedahkan di hadapan mahram. Adapun bahagian-bahagian lain, ia tetap menjadi aurat dan wajib ditutup sekalipun di hadapan mahram. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di mana beliau menegaskan; “Bahagian badan wanita yang harus dilihat oleh mahram hanyalah tempat-tempat beradanya perhiasan bathin (dalaman) seperti telinga, rambut, leher, lengan dan betis. Adapun selainnya seperti paha, perut, kemaluan dan punggung, maka tidak harus didedah dan diperlihatkan sekalipun kepada mahram atau wanita lain. Pandangan kedua inilah yang lebih menepati kehormatan seorang wanita berbanding pandangan jumhur tadi.

Selain di hadapan suami dan mahram, di hadapan siapa lagi wanita diberi kelonggaran untuk memperlihatkan perhiasan khafiynya?

1. Sama-sama kaum wanita
2. Di hadapan hamba-hamba mereka
3. Orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
4. Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Di hadapan mereka harus seorang wanita memperlihatkan perhiasan khafiynya. Oleh itu, dibenarkan ia membuka tudung di hadapan mereka dengan syarat aman dari fitnah. Keharusan ini adalah adalah berdasarkan ayat 31 (dari surah an-Nur) tadi.

Akan bersambung...

Post a Comment

3 Comments