AURAT WANITA - BAHAGIAN 2

Sambungan 'AURAT WANITA' ...
Apakah batasan aurat sesama wanita?

1. Aurat di hadapan wanita Islam. 

Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya di hadapan mahramnya, iaitu;

a) Menurut jumhur ulamak; antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan jumhur ini, harus seorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya di hadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.

b) Menurut sebahagian ulamak; seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam. Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana dinyatakan tadi (sila baca kembali; aurat wanita di hadapan mahramnya).

2. Aurat di hadapan wanita kafir

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;

a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan. Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulamak). Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.

Ada di kalangan ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak;

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.

Ada sebahagian orang hari ini mempertikai kewajipan memakai tudung kepala? Menurut mereka; tidak ada dalil bagi kewajipan bertudung. Benarkan dakwaan mereka?

Tidak benar. Kewajipan bertudung sabit dengan dalil al-Quran, as-Sunnah dan disepakati oleh sekalian ulamak (ijmak).

1. Di dalam al-Quran, perintah bertudung dengan jelas dapat difahami dari firman Allah dalam surah an-Nur tadi;

“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan 
tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. 
(an-Nur: 31)

Al-Khumur dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Khimar yang memberi erti tudung atau kain penutup kepala. Pengertian ini telah disepakati oleh para ulama’ tafsir dan juga kamus-kamus Bahasa Arab yang muktabar. Syeikh Nasiruddin al-Bani dalam kitabnya “Hijab al-Mar’ah al-Muslimah” (Pakaian wanita Islam) menyebutkan bahawa makna tersebut tidak ada sebarang khilaf di kalangan ulama’ (yakni semua ulama’ sepakat memberi makna al-khimar sebagai tudung atau kain penutup kepala). Menurut Imam Thabari dalam tafsirnya iaitu Tafsir at-Thabari, ayat tersebut memberi pengertian; “Hendaklah wanita-wanita beriman melabuhkan tudung-tudung mereka hingga ke dada mereka untuk menutup dengannya rambut, leher serta anting-anting mereka”. (Tafsir at-Thabari, Ibnu Jarir at-Thabari, surah an-Nur, ayat 31)

Waalahua'lam..

Post a Comment

4 Comments

  1. terbaik la..

    antara ciri paling utama yang saya nak cari pada wanita ialah paling cermat menjaga aurat..

    itulah buktinya ada takwa kepada Allah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga jmp yg dicari. InsyaAllah 😊

      Delete
    2. aamiin..

      biasa orang yang sebegitu tidak semudah cari orang biasa-biasa

      Delete