TAHAJUD, TIKET KE SYURGA

Assalammualaikum w.b.t.

“Anak saya yang sakit ini merupakan tiket saya ke syurga, kenapa perlu saya bersedih?” luah Pakcik Zainuddin (bukan nama sebenar). Beliau antara salah seorang penerima manfaat Islamic Relief Malaysia.

“Masuklah,” jemput Pakcik Zainuddin kepada kami. Rumah Pakcik Zainuddin kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi kebahagiaan yang dimiliki oleh keluarga tersebut terpancar hingga ke luar rumah. Pakcik Zainuddin mempersilakan kami masuk dengan wajah penuh kesyukuran.

Saat kami melangkah masuk ke dalam rumah, kelihatan seorang anak kecil terlantar di atas tilam yang kecil dengan tiub saluran penuh menghiasi badannya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati kami melihat insan sekecil itu menempuh ujian hidup. Teringat akan firman Allah yang berkali-kali diulang di dalam Surah Ar-Rahman tentang nikmat syukur;

“Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”

Terkadang kita terlalu leka dengan nikmat hidup sehingga terlupa untuk bersyukur atas nikmat kesihatan yang dikunia Ilahi. Benarlah, setiap ujian pasti mengandungi hikmah. Seakan-akan memahami bahasa badan kami, Pakcik Zainuddin berkata, “Kenapa perlu saya bersedih? Sejak anak saya sakit, saya mula bangun malam untuk bertahajud. Sebelum ini, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk bangun. Ini adalah kasih sayang Tuhan yang diberikan kepada saya untuk selalu bertahajud apabila terjaga.”

Kata-kata positif Pakcik Zainuddin membuatkan hati kami mula dirobek dengan tangisan. Ujian hidup dinikmati dengan penuh kesyukuran. Kami mengangguk insaf mendengar luahan Pakcik Zainuddin sambil menghadamnya dengan baik. Beberapa ketika kemudian, kami mula mencungkil sedikit demi sedikit cerita mengenai anaknya.

Menurut beliau, anaknya kritikal kerana memerlukan pantauan doktor dengan lebih kerap dan dikatakan anaknya telah menjalani 14 kali pembedahan major dan minor. Bayangkan, bagaimana ketabahan seorang ayah untuk menjaga anaknya saban hari? Anak kecil berumur dua tahun itu menghidap sakit tulang belakang yang dikenali sebagai Spine Bifida dan sakit urat saraf yang dikenali sebagai Hydocephalus. Bekerja sendiri membolehkan Pakcik Zainuddin memberi sepenuh perhatian untuk menjaga Mia. Dalam masa yang sama, isterinya turut bekerja keras mencari rezeki membantu suaminya.

Mia (bukan nama sebenar) hanya mendapat nutrisi dari susu kambing yang diberikan kerana Mia tidak boleh menjamah sebarang susu termasuk susu formula atau susu ibu kerana ia boleh melemahkan sistem imunisasi badan Mia. Hati ibu dan ayah mana yang tidak sedih melihat anaknya berjuang melawan kesakitan. Sejak lahir, Mia telah disahkan menghidapi penyakit-penyakit tersebut. Menurut doktor yang merawat Mia, Mia tidak mampu bertahan lama. Namun, kuasa Tuhan membenarkan segala kehendak-Nya terjadi. Mia masih bertahan sehingga kini!

Suasana perbualan semakin rancak apabila Pakcik Zainuddin mula selesa untuk bercerita perihal anaknya kepada kami seolah-olah beliau sudah menganggap kami seperti ahli keluarganya sendiri. Kata beliau lagi, anaknya perlu ditukar tiub setiap 3 jam menggunakan tiub khas dan ini menjadi sebab beliau mula mendirikan solat malam tunduk kepada Penciptanya. Anaknya juga perlu memakai splint yang direka khas kerana mengalami pembesaran kaki yang luar biasa dan ini sedikit sebanyak membebankan keluarga Pakcik Zainuddin kerana kos yang agak tinggi.

Tambahan lagi, kerusi khas diperlukan untuk merawat sakit tulang belakang Mia. Ini sudah tentu memberi kerisauan kepada ahli keluarganya untuk menampung kos lebihan rawatan. Walaubagaimanapun, Pakcik Zainuddin bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Beliau menggunakan sedikit kepakaran yang ada dalam bidang perniagaan untuk menambah pendapatan bagi menampung kos perubatan Mia. Beliau juga turut membantu golongan ibu bapa yang menerima ujian yang sama, dengan memperkenalkan perniagaannya kepada mereka agar dapat berdikari sendiri.

Inilah yang dikatakan dalam hadis tentang kasih sayang seorang mukmin :

“Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, 
sebagian menguatkan sebahagian yang lain.” 
[Shahih Muslim No.4684]

Inilah antara cebisan pembelajaran yang kami perolehi sepanjang membantu penerima manfaat Islamic Relief Malaysia dibawah projek Gift Of Hope. Melalui lawatan dan bantuan terus kepada penerima manfaat, kami dapat melihat dan merasai sendiri denyut nadi kesusahan mereka yang ditimpa dengan pelbagai ujian.


Alhamdulillah, melalui Projek Gift Of Hope di bawah tabung mySEDEKAH, kami telah berjaya membantu Pakcik Zainuddin dengan memberikan bantuan perubatan kepada anak beliau. Antaranya bantuan kerusi khas dari HUKM berharga RM2000 dan bantuan splint untuk sokongan kaki anak beliau. Kami juga turut memberikan bantuan sokongan kepada perniagaan yang di lakukan oleh Pakcik Zainuddin. Bantuan – bantuan yang diberikan akan dipantau selama 1 tahun untuk melihat hasil dan perubahan kepada keluarga pakcik Zainuddin.

Inilah antara manfaat yang diperolehi oleh pakcik Zainuddin dan ramai lagi penerima manfaat yang lain hasil dari sumbangan anda semua di bawah tabung mySEDEKAH. Sumbangan yang anda lakukan mungkin kecil pada pandangan anda tetapi sangat besar pada mereka.

Untuk itu, kami menyediakan ruang kepada anda untuk menyumbang secara berterusan secara bulanan walaupun sedikit melalui Kempen Autodebit (Maybank). Serendah RM10 sebulan, anda dapat memberikan manfaat berterusan kepada mereka yang memerlukan. Maklumat lanjut boleh berhubung dengan saya melalui email Hafiz.Majid@islamic-relief.org.my atau hubungi 0145067488.

Terima kasih !

Ini adalah untuk perkongsian. Sebagai ingatan buat kita semua. Dan, selagi kita mampu untuk membantu atau meringankan beban mereka yang memerlukan, bantulah. Lakukanlah. Sekarang mereka sedang dalam kesusahan, kita sendiri tidak tahu bila pula waktu kita akan tiba. Jangan fikir apa balasan yang kita akan dapat, just do it for ALLAH SWT. Just do it cause we are MUSLIM and it is our RESPONSIBILITY to help each other for those who needed. Dan mungkin boleh juga menanggap ia sebagai salah satu cara untuk menebus akan segala dosa dan kesalahan yang kita sudah lakukan yang tidak terkira banyaknya. Kerana kita adalah manusia yang tidak akan pernah sempurna. 

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan, boleh ikut seperti cara yang telah dinyatakan seperti di atas ye..ingat. Buat kerana ALLAH SWT ^_^

Sekian,Wassalam.=)

Post a Comment

9 Comments

  1. Thank you dear for this sharing,sebenarnya sis ada simpan no akaun islamic relief ni,cuma tak tahu dia digunakan untuk keperluan apa dan dinegara mana.ALhamdulilah today ada sedikit pencerahan.Keep on sharing dear

    ReplyDelete
  2. sedihnya baca...bersamalah membantu pada mereka yang memerlukan

    ReplyDelete
  3. wah !! bagus ni.. thanx untuk info..

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah... terus kan usaha murni ini

    ReplyDelete
  5. utk kamu...


    http://aniesandyou.blogspot.my/2017/02/blogger2-berikut-sila-ambil-perhatian-ya.html

    ReplyDelete
  6. sedihnyaa baca... harap ada yg masih sudi menderma

    ReplyDelete
  7. Disebalik ujian adanya hikmah yang sangat besar...

    ReplyDelete