IBRAH AL-KAHFI: FEQH MENDEPANI BENCANA

Assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh & Salam Jumaat =)
#untukperkongsian
Dah baca Al Kahfi? =)
Dalam beberapa hadith, Nabi menjelaskan bahawa surah al-Kahfi adalah bekalan untuk melindungi diri dari fitnah Dajjal. Ia merupakan kemuncak ujian ke atas manusia. Terkandung di dalam surah al-Kahfi, kaedah-kaedah mendepani bencana, sekalipun di waktu sebelum munculnya Dajjal.

BERSEMBUNYI, JANGAN KELUAR
Ketika Ashabul Kahfi terancam, Allah mengilhamkan mereka agar bersembunyi. Mereka mendiam di dalam gua dalam tempoh 309 tahun. Uzlah mereka berpahala, kerana ingin menjaga keselamatan diri.
Dalam beberapa petunjuk hadith-hadith Nabi, terdapat juga pesanan agar bersembunyi ketika munculnya fitnah yang dahsyat. Nabi menjelaskan bahawa yang duduk lebih baik dari yang berdiri, yang berdiri lebih baik dari yang berjalan & yang berjalan lebih baik dari yang berlari. 

Sekalipun pesanan Nabi itu terkait dengan fitnah konflik kekacauan. Namun kefahaman yang perlu diambil adalah, ada ketikanya sikap pasif itu perlu.

JIKA PERLU KELUAR, HANYA SEORANG WAKIL SAHAJA
Saat Ashabul Kahfi disedarkan dari tidur yang lama, mereka terasa lapar. Lantas mereka mewakilkan hanya seorang sahaja dari mereka untuk keluar dari gua bagi mendapatkan makanan.
Wakil itu pula dikirimkan dengan duit yang telah disediakan & dipesan agar cari makanan-makanan keperluan yang terbaik, yang sesuai dengan kondisi mereka. Bukan sekadar itu, wakil tersebut diingatkan agar berwaspada. Dia perlu sentiasa beringat bahawa pemergiannya bukan untuk berlibur.

فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا 
"Maka suruhlah salah seorang dari kamu semua agar pergi ke kota dengan membawa duit & hendaklah dia mencari makanan yang terbaik. Maka bolehlah dia bawa pulang kepada kamu rezeki itu. Dan hendaklah dia berjalan secara cermat, berwaspada agar tidak sekali-kali menceritakan hal kamu semua kepada seorang pun"
- AlKahfi : 19-

TIDAK MENINGGALKAN FAKTOR ASBAB
Kisah terakhir dalam surah al-Kahfi, Allah menceritakan perihal seorang maharaja yang adil & hebat. Zulqarnain dikurniakan kekuasaan oleh Allah, menakluk Timur & Barat.
Di awal penceritaan, Allah menggambarkan bahawa Zulqarnain seorang yang kuat berusaha. Sikap mengambil asbab merupakan syarat bagi melengkapi tawakkal yang benar. Islam tidak mengajar umatnya berserah pada takdir tanpa usaha.

إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا
"Sesungguhnya Kami telah kurniakan buatnya kekuasaan ke atas dunia.
Dan Kami telah datangnya bersamanya bagi setiap sesuatu, sebab"
- AlKahfi : 84-

KOMUNIKASI ANTARA RAKYAT & PEMERINTAH
Dalam kisah Zulqarnain, Allah menceritakan aduan rakyatnya yang sedang berdepan dengan ancaman Ya'juj & Ma'juj. Sekalipun bahasa rakyatnya sukar difahami, namun Zulqarnain tetap memenuhi permintaan mereka & tidak menjadikan masalah komunikasi sebagai alasan.

وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلً
"Dia (Zulqarnain) berjumpa dengan kaum antara dua (lereng bukit) yang 
hampir tidak difahami kata-kata mereka"
- Al-Kahfi : 93-

KERJASAMA ANTARA RAKYAT & PEMERINTAH
• Rakyatnya memilik kesedaran yang tinggi. Mereka yang mengambil langkah awal, mengadu kepada Zulqarnain akan bahaya yang datang dari Ya'juj & Ma'juj. Bukan sekadar itu, rakyatnya menawarkan diri untuk dikutip bayaran khas bagi mendepani ancaman tersebut.

يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا 
"Wahai Zulqarnain, sesungguhnya  Ya'juj & Ma'juj merupakan perosak di atas muka bumi ini. Maka apakah perlu kamu berikan kepadamu bayaran untuk kamu binakan 
antara kami & mereka tembok pemisah?"
- AlKahfi : 94-

Zulqarnain pantas memberi respon positif dengan tidak mengambil kesempatan untuk menambah beban rakyatnya. Bahkan beliau menyatakan apa yang sedia ada dalam perbendaharaan negara sudah memadai.  Zulqarnain meminta kerjasama rakyatnya agar dapat sama-sama membina tembok pertahanan yang memisahkan mereka dengan Ya'juj & Ma'juj.

مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا
"Apa yang telah dianugerahkan oleh Tuhanku adalah lebih baik. Maka bantulah aku dengan kekuatan tenaga agar aku buatkan tembok penghalang antara kamu semua & mereka"
- AlKahfi : 95-

Sememangnya apabila berlaku bencana, komunikasi & kerjasama antara rakyat & pemerintah mesti diurus sebaik mungkin. Bahkan, pemerintah perlu terlebih dahulu mengeluarkan belanja & menunjukkan contoh pengorbanan bagi mendepani bencana.

BERKONGSI SEMANGAT POSITIF & BERDOA
Allah telah berpesan kepada Nabi & kita semua agar terus berhubung dengan orang-orang baik. Mudah-mudahan kebaikan mereka, termasuk semangat ketaatan dari mereka dapat dikongsi bersama.

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ
"Dan bersabarlah kamu (wahai Muhammad) agar tetap bersama dengan golongan yang sentiasa mengadu kepada Tuhan mereka di waktu pagi & 
petang dengan mengharapkan keredhaanNya"
- AlKahfi : 28-

Begitu juga Allah telah mengajar kita akan DOA ASHABUL KAHFI yang sesuai dipanjatkan ketika waktu sukar & tertekan. Doa ini sebagai permintaan kepada Allah agar Dia kurniakan RAHMAT buat kita & agar Dia kurniakan PETUNJUK. Sememangnya di waktu panik, kita sangat perlukan petunjuk.

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
"Wahai Tuhan Kami, kurniakan buat kami dari sisimu rahmat & sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami"
- AlKahfi : 10-
SEBUAH PEDOMAN
Al-Quran merupakan kitab petunjuk. Walaupun bencana Covid-19 yang melanda dunia hari ini, belumlah sampai ke tahap fitnah Dajjal sepenuhnya yang terkait dengan pedoman surah al-Kahfi.
Namun melihat kaedah-kaedah umum yang termuat di dalam surah tersebut, menyedarkan kita bahawa al-Quran telah awal-awal mengajar umat Islam agar menjadi golongan yang pandai mengurus diri ketika datangnya bencana.

Semoga Allah selamatkan kita, di dunia & di akhirat. Aamiin.

#semogabermanfaat

Post a Comment

4 Comments

  1. alhamdulillah
    perkongsian yang sangat bagus

    ReplyDelete
  2. Semoga terus istiqomah jadikan amalan :)

    ReplyDelete
  3. banyak rupanya petunjuk yg boleh diambil dlm surah ni.. semoga kita sebagai hampa pandai mneguruskan diri semasa bencana :)

    ReplyDelete